Harith turunkan ilmu bantu Faiz gapai Puskas
Selepas berjaya menjadi "manusia paling kelakar di dunia" Harith Iskander tidak lokek berkongsi rahsia bagi membantu pemain skuad Harimau Kumbang, Faiz Subri, menjulang trofi Puskas 2016.
Bercakap kepada Malaysiakini, Harith berkata, Faiz memang berpeluang cerah untuk menjadi pemenang anugerah berprestij itu pada Januari depan.
Katanya, Faiz atau peminat perlu mengongsi maklumat, klip video dan pautan undian berkenaan di media sosial sebanyak mungkin.
Menurut hos rancangan Obviously Harith Iskander itu, strategi berkenaan memang berkesan dan ia banyak membantunya memenangi pertandingan anjuran Laugh Factory di Finland baru-baru ini.
Dalam pertandingan Funniest Person in the World itu Harith mengalahkan cabaran peserta dari Filipina, Allex Calleja, yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua, serta pelawak dari Greece Katerina Vrana di tempat ketiga.
Mengikut format pertandingan peserta dikehendaki membuat persembahan mengikut tempoh yang ditetapkan dan klip video paling mendapat banyak like diumum pemenang.
Faiz yang melakukan tendangan percuma 'luar biasa' pada 16 Februari lalu ketika dia bermain untuk Pulau Pinang berdepan cabaran Pahang di Stadium Badaraya, George Town.
Perlawanan berakhir dengan kemenangan berpihak kepada pasukan tuan rumah 4-1. Tendangan knuckleball Faiz menyumbang satu daripada empat gol berkenaan.
Walaupun kedudukan undian semasa tidak dipaparkan, dipercayai Faiz berpeluang cerah untuk mengungguli Puskas tahun ini berdasarkan jumlah tontonan klip video rasmi Fifa.
Undian masih dibuka sehingga 9 Januari ini. [Klik di sini untuk mengundi]
Harith juga sependapat bahawa Faiz berpeluang menang anugerah itu kerana tendangan berkenaan bukan saja digemari peminat bola sepak di negara ini.
"Sesiapa saja yang suka bola sepak memang tahu jaringan Faiz outstanding, memang bagus.
"Faiz ada peluang yang baik untuk menang," katanya.
Peminat setia Liverpool dan JDT itu juga menganggap tendangan Faiz sebagai "amat luar biasa".
Let's support Faiz Subri's goal! Vote at https://t.co/hauivf4hs6
— Harith Iskander (@HarithIskander) December 22, 2016
Selain Harith, pemilik kelab JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini turut memberikan insentif RM15,000 kepada Faiz atas kapasiti beliau sebagai penaung Persatuan Pemain-pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).
FAM pula menyediakan tiket penerbangan kelas perniagaan ke Zurich kepada isteri dan dua anak Faiz bagi membolehkan mereka sama-sama merasai kemeriahan anugerah berkenaan.
Anugerah Puskas diberikan kepada pemain terpilih yang melakukan jaringan tercantik mengikut pandangan pengundi di seluruh dunia.
Pada majlis itu juga Fifa akan mengumumkan secara rasmi pemenang anugerah tertinggi bola sepak dunia, Pemain Terbaik 2016.

