Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Skuad bola sepak Kelantan mendapat talian hayat dan harapan baru apabila syarikat pengeluar bahan minuman, SuperBest Power Health Food and Beverages, bersedia menjadi penaja.

Ketua pegawai eksekutifnya, Kamal Mohd Nor, berkata syarikat itu bersedia menjadi penaja utama skuad The Red Warriors (TRW) dan proses memuktamadkannya sedang dibincangkan.

Menurut Kamal, perbincangan awal sudah dibuat bersama Ketua Pegawai Eksekutif ‎TRW, Radhi Jalil, hari ini dan keputusan yang dicapai menunjukkan tanda positif.

"SuperBest sebagai satu syarikat usahawan menawarkan jalan keluar kepada pasukan Kelantan dengan situasi menang-menang.

"Tetapi kita tidak meletakkan apa-apa syarat yang dan jumlah penajaan akan dibincangan lanjut dalam masa terdekat," katanya kepada Malaysiakini Sukan hari ini.

Terdahulu Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) ‎memutuskan untuk menarik diri daripada saingan liga Malaysia musim depan susulan masalah kewangan dihadapi mereka.

Masalah itu timbul selepas penaja utama Kafa iaitu Vida Beauty Sdn Bhd menarik diri daripada penajaan mereka.

Bagaimanapun keputusan akhir mengenai penyertaan skuad TRW akan ditentu pada Kongres Luar Biasa Kafa pada 29 Disember nanti.

Kamal berkata, pihaknya komited untuk menyalurkan peruntukan dana yang mencukupi bagi perbelanjaan Kafa.

"Kita sudah lama berhasrat untuk menaja Kelantan, insya-Allah hajat ini ‎akan direalisasikan.

"Saya akan lihat kesanggupan Kafa.

"Sebagai sebuah syarikat yang sudah 10 tahun beroperasi, kami sudah memasarkan produk di seluruh negara dan di beberapa negara luar, kami yakin dapat memberi komitmen sewajarnya.

"Dengan sokongan akar umbi seperti mana sokong terhadap produk SuperBest Power sendiri, saya berharap seluruh rakyat Kelantan akan memberi sokongan atas usaha kita demi kelangsungan bola sepak Kelantan," katanya.

Lihat Komen
ADS