Apek mahu masalah Kafa diselesaikan segera

       

Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat mahu masalah kewangan yang membelenggu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA)
ketika ini diatasi segera.

Menurutnya, ia perlu bagi memastikan skuad The Red Warriors dapat membuat persediaan rapi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2017.

Khairul Fahmi yang mesra dengan panggilan 'Apek' mengakui masalah itu sedikit sebanyak mengganggu emosi pemain tetapi yakin ia mampu diatasi oleh pengurusan pasukan.

"Kami (pemain) sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Sekiranya keputusan kurang positif dicapai pada 29 Dis nanti, saya harap KAFA masih mengutamakan kebajikan pemain yang telah banyak berjasa selama ini," katanya.

Khairul Fahmi baru dinamakan sebagai Penjaga Gol Terbaik buat kali kelima pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016, Jumaat lepas.

Sebagai rekod, Khairul Fahmi pernah memenangi anugerah sama dari 2010 sehingga 2013.

Menurut Khairul Fahmi, skuad Kelantan kini giat menjalani latihan pra-musim di bawah kendalian Zahasmi Ismail yang merupakan bekas pemain pasukan itu pada era 1990-an.

KAFA dilaporkan mahu menarik diri daripada Liga-M 2017 memandangkan persatuan itu hanya mempunyai RM800,000 hasil sumbangan penaja kecil sedangkan mereka memerlukan kira-kira RM15 juta untuk kos keseluruhan pasukan tersebut.

Keputusan terakhir sama ada Kelantan akan menarik diri daripada menyertai Liga-M musim depan akan dibuat menerusi Kongres Luar Biasa KAFA pada 29 Disember ini.

Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) menetapkan tempoh akhir pendaftaran pasukan untuk Liga-M 2017 pada 31 Disember ini. -Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.