Hanya selepas 85 hari diberi tanggungjawab, khidmat pengurus Swansea City Bob Bradley akhirnya ditamatkan.

Bradley menjadi jurulatih kedua yang dipecat kelab itu pada musim ini selepas menggantikan Francesco Guidolin pada 3 Oktober lalu.

Diawal pengendaliannya, skuad The Swans berada di kedudukan ke-17 EPL dan selepas dua bulan berlalu mereka terpuruk ke tangga ke-19.

"Swansea City mengesahkan kelab mencapai persetujuan untuk berpisah dengan Pengurus Bob Bradley," kata kelab itu dalam kenyataan rasminya.

Pemecatan jurulatih dari Amerika Syarikat itu dibuat selepas Swansea dibelasah 4-1 ketika menerima kunjungan West Ham United, Isnin lalu.

Kekalahan itu kali ketujuh dalam 11 perlawanan mereka sepanjang di bawah bimbingan Bradley selain mencatat masing-masing dua kemenangan dan dua keputusan seri.

Sepanjang 11 perlawanan itu juga, mereka dibolosi dengan 29 jaringan menghampiri purata tiga gol setiap perlawanan.

Kini, jurulatih pasukan Paul Williams dan Alan Curtis diberi tanggungjawab sebagai penggendali sementara pelantikan pengurus baru dibuat.