Jaringan 'kala jengking' dihasilkan penyerang Arsenal, Olivier Giroud ketika membantu The Gunners menumpaskan Crystal Palace, Isnin lalu menjadi kegemaran pengurusnya, Arsene Wenger sepanjang 21 tahun mengemudi kelab itu.

Dalam wawancara bersama BBC, Wenger berkata gol dihasilkan Giroud itu tidak logik.

"Tetapi tindak balasnya hebat dan dia menghasilkan jaringan kala jengking," katanya dipetik sebagai berkata.

Giroud menerima umpanan silang Alexis Sanchez sebelum mengarahkan kaki dari arah belakang untuk menewaskan penjaga gol lawan Wayne Hennessey di minit ke-17.

Jurulatih berusia 67 tahun itu menyifatkan jaringan tersebut salah satu gol paling disukai selain beberapa jaringan pemain lain seperti Dennis Bergkamp dan Thierry Henry.

 

 

Sementara itu, pemain kelahiran Perancis itu menganggap gol tersebut sebagai yang terbaik seumur hidupnya.

"Saya tidak pernah menjaringkan gol seperti itu sebelum ini, saya kira itu gol terbaik saya," katanya di Twitter @premierleague.

Arsenal kini berada di kedudukan keempat EPL selepas 19 perlawanan dengan kutipan 40 mata berbanding Chelsea sebagai pendahulu dengan 49 mata.