Sebuah masjid di Kepala Batas, Pulau Pinang mengadakan solat hajat khas untuk mendoakan kejayaan buat pemain bola sepak negeri itu, Faiz Subri, mengungguli Anugerah Puskas Fifa beberapa hari lagi.

Usaha itu dibuat anggota kariah Masjid Jamiul Jalal wal Kamal yang berlangsung sebelum solat Asar, petang semalam.

Pengerusi masjid berkenaan, Kamal Khairul Fitri Kiraman, berkata solat hajat itu diadakan khas untuk mendoakan kesejahteraan Faiz yang bakal berlepas ke Zurich, Switzerland pada 9 Januari ini.

"Solat hajat diadakan khas untuk memohon ke hadrat Allah supaya urusan Faiz dipermudahkan dan semoga kejayaan akan menjadi miliknya dan milik semua rakyat Malaysia kelak," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian Online.

Faiz akan berlepas ke Zurich bersama isteri dan dua anaknya pada 8 Januari nanti selepas dipilih sebagai calon akhir Anugerah Puskas Fifa 2016.

Pemain kelahiran Ayer Hitam, Kedah itu bersaing dengan dua calon lain dengan mempertaruhkan gol cantik yang dihasilkan ketika beraksi bersama skuad Harimau Kumbang Februari tahun lalu.

Nasib pemain tengah itu ditentukan melalui undian secara terbuka dan peluangnya untuk menjulang anugerah berprestij dunia itu dilihat cerah berdasarkan sambutan ramai terhadap video sepakannya.

[Klik di sini untuk mengundi]

Undian atas talian masih berlangsung sehingga 9 Januari ini.

Sementara itu, solat hajat yang diadakan sempena Karnival Cintai Masjid turut dimeriahkan dengan konvo motosikal berkuasa tinggi dan kehadiran Faiz yang dijemput khas untuk program kuliah asar.

Khairul Fitri berkata, Faiz pergi bukan sekadar seorang pemain Pulau Pinang malah seorang wakil negara yang julung kalinya tercalon untuk anugerah itu.

"Ini satu kejayaan besar seorang anak Malaysia tercalon untuk anugerah ini.

"Pada saya beliau sebagai ikon anak muda yang wajar dicontohi dan insya-Allah kita bersama doakan kejayaannya," tambahnya.