Malaysia Dragons masih buru momentum
Dua musim yang lalu, Westports Malaysia Dragons mengungguli tempat teratas sebelum layak ke saingan playoffs.
Malah, Dragons juga pernah berjaya memasuki peringkat akhir dan menjuarai liga Asean Basketball League (ABL) musim yang lalu.
Ketinggalan tiga perlawanan berbanding lima pasukan lain dalam liga, pasukan Malaysia itu masih perlu mencari momentum untuk kembali di tangga teratas.
Dengan satu kemenangan dua minggu lalu di Vietnam menentang Saigon Heat, Dragons kini berada di tangga ketiga selepas Singapore Slingers dan Hong Kong Eastern Long Lions di tempat pertama dan kedua.
Dragons tumpas ketika beraksi pada bulan November lalu di Singapura dengan 80 mata berbanding 62.
Ketika ditemui Malaysiakini semasa latihan di Stadium MABA, Kuala Lumpur, ketua jurulatih Dragons, Christopher Thomas kelihatan agak ceria dengan prestasi anak buahnya.
Pasukan Malaysia itu juga akan beraksi minggu ini dalam perlawanan merebut Straits Cup dengan Singapore Slingers pada malam Jumaat ini di Gem in Mall, Cyberjaya.
Stadium Maba di Kuala Lumpur masih dalam usaha ubahsuai dan naik taraf sempena Sukan SEA yang akan diadakan pada bulan Jun nanti di ibu negara.
Teruja di gelanggang sendiri
"Saya sangat teruja. Mana-mana pasukan yang bermain di gelanggang sendiri, tentunya ada harapan tinggi dalam kalangan peminat setia di Malaysia. Kami juga perlu berusaha lebih gigih lagi untuk memenangi perlawanan di depan peminat.
"Ini merupakan peluang terbaik untuk menebus kekalahan Dragons dalam perlawanan pertama. Namun, kami masih mencari identiti untuk pasukan ini. Walaupun masih baru dan dalam proses pengukuhan, tidak dapat dibandingkan dengan Slingers yang telah bersama sejak beberapa musim yang lalu," kata Thomas.
"Terdapat banyak percaturan masa pada akhir tahun lalu dengan kejohanan Piala Agong dan cuti Krismas. Tidak dapat dinafikan, ini adalah antara cabaran. Untuk diri saya, cabaran itu hanyalah peluang terbaik untuk beraksi dengan lebih baik walaupun kami serba kekurangan," katanya.
Thomas pernah berpengalaman sebagai pencungkil bakat untuk NBA di Amerika Syarikat bersama pasukan Golden State Warriors, Chicago Bulls dan Utah Jazz. Beliau juga merupakan penolong jurulatih untuk pasukan kebangsaan Slovenia sebelum menyertai Westports Malaysia Dragons.
Semasa sesi latihan yang bersambung sejak Isnin lalu, pemain Dragons masih memerlukan lebih banyak masa untuk mengukuhkan lagi potensi mereka.
Walaupun Thomas membawa sistem latihan dan strategi yang baru, Dragons harus bergerak lebih pantas untuk mengakhiri musim ini untuk layak ke peringkat seterusnya.
"Saya rasa mereka dapat mengikuti sistem yang saya perkenalkan untuk Dragons. Lebih baik daripada perlawanan pertama, bukan?
"Cara penstrukturan pasukan ini, kami tidak dapat bergerak sepantas yang diharapkan...tetapi Dragons perlu menjadi sebuah pasukan pertahanan yang kuat dan berupaya menjaringkan mata dengan efektif," kata Thomas.

