Kok Hou, Ivan yakin Dragons tak kecewa lagi
Bermulalah 'perseteruan' antara dua negara berjiran - Malaysia dan Singapura - apabila kedua-dua kelab yang menyertai Liga Bola Keranjang Asean (ABL) bertemu di Gem in Mall, Cyberjaya malam ini.
Westports Malaysia Dragons akan dicabar kelab Singapore Slingers bagi merebut Piala Straits yang mula diperkenalkan pada tahun lalu.
Dragons menjadi pemenang pertama pada 2016.
Bercakap kepada Malaysiakini selepas sesi latihan di Stadium Maba, pemain tempatan Teo Kok Hou berkata dia memang dahagakan kemenangan, terutama dalam keadaannya baru memulakan kerjaya bersama Dragons.
Katanya, dia bakal mengorak langkahnya sebaik mungkin untuk menyinar pada perlawanan malam ini.
T
eo hanya bermain dua minit sahaja pada perlawanan pertama Dragons menentang Slingers pada November lalu namun diberikan ruang 20 minit pada pertemuan menentang Saigon Heat di Vietnam kemudian.
Bagaimanapun Dragons kalah kepada Slingers dengan 62 berbalas 80 mata.
"Cabaran sentiasa ada dan saya percaya kami dapat beraksi dengan lebih baik di gelanggang sendiri.
"Saya rasa prestasi Dragons meningkat kerana kelemahan komunikasi pada perlawanan pertama sudah diperbaiki, dan hubungan baik antara pemain yang bersama sejak beberapa musim lalu kian mantap," katanya.
Seorang lagi pemain tempatan, Ivan Yeo, juga sependapat dengan Teo.
Pemain berasal dari Kelantan itu berkata Slingers adalah pasukan terbaik dalam ABL setakat ini namun Dragons tetap bersedia untuk memberi cabaran paling getir kepada kelab dari seberang tambak berkenaan.
"Disember lalu cukup mencabar untuk saya kerana perlu bermain untuk dua pasukan (kerana perlu juga mewakili NS Matrix dalam Piala Agong).
"Kini saya boleh tumpukan sepenuh perhatian bersama Dragons.
"Saya akan cuba sedaya upaya sekiranya diberi kepercayaan oleh jurulatih untuk beraksi," tambahnya.
Selepas perlawanan malam ini, Dragons akan bertemu Slingers untuk kali ketiga di Singapura Ahad ini.

