Penyokong Kelantan berlapang dada

       

Penyokong menyambut baik dan berlapang dada dengan berita gembira diumumkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk tidak menarik diri dari saingan liga Malaysia 2017.

Presiden Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (kelate.net), Mahizi mahmood berkata, pengumuman tersebut sudah tentu menggembirakan penyokong setia The Red Warriors (TRW).

Katanya, setinggi penghargaan buat bekas presiden Kafa Tan Sri Annuar Musa atas inisiatif selaku pengerusi Al-Hambra dan Red One yang sudi membantu Kafa menyelesaikan kemelut yang dihadapi.

"Terima kasih juga kepada Red One dan Al-Hambra yang sudi menjadi penaja utama skuad bola sepak Kelantan musim ini," katanya.

Terdahulu, Kafa memutuskan menarik diri daripada menyertai liga Malaysia susulan krisis kewangan kritikal yang melanda persatuan itu.

Tindakan itu susulan Kafa hanya mempunyai RM800,000 hasil sumbangan penaja kecil sedangkan mereka memerlukan kira-kira RM15 juta untuk kos keseluruhan pasukan itu.

Namun, Annuar semalam tampil menyelamatkan skuad Kijang itu dengan pengumuman untuk menjadi penaja rasmi kafa.

Kelantan yang kini dibimbing jurulatih Zahasmi Ismail dilihat bakal menghadapi cabaran besar musim ini dengan dibarisi lebih ramai pemain muda.

Sementara itu, Mahizi berkata pihaknya turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang sudi berbincang walaupun gagal menemui kata sepakat.

"Ini membuktikan kerajaan negeri juga peka dengan permasalahan yang dihadapi Kafa.

"Kita berharap tiada lagi masalah yang dihadapi TRW dan pemain serta pengurusan dapat fokus dalam menghadapi ujian sebenar mengharungi Liga Super.

"Kita juga mengharapkan sokongan berterusan daripada penyokong setia agar dapat memenuhi stadium bagi memberikan semangat kepada pasukan," jelasnya.

Selain itu ujarnya, peranan penyokong dan bekas pemain pasukan itu juga perlu dihargai atas komitmen yang diberikan ketika kemelut menyelubungi Kafa.

"Mereka terlalu sayangkan pasukan dan kita berharap pengurusan serta pemain dapat membalas pengorbanan mereka seterusnya mengembalikan kegemilangan Kelantan seperti suatu masa dahulu," katanya.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.