Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Farkhan juarai kejohanan tinju antarabangsa Johor
Diterbitkan:  Jan 8, 2017 5:30 PM
Dikemaskini: 9:46 AM

Peninju profesional negara, Muhammad Farkhan Mohd Haron, menjuarai kategori 'light heavyweight' Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor (JIBC) 2017, selepas menumbangkan peninju dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Kaseba, malam tadi.

Anak kepada bekas peninju negara, Allahyarham Mohd Haron Ismail itu menewaskan Kaseba, dengan pukulan TKO pada minit kedua pusingan keempat, meskipun diasak keras pada pusingan pertama dan kedua.

Acara yang julung kali diadakan itu disaksikan lebih 3,000 penyokong yang hadir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, lapor Bernama.

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyaksikan pertandingan itu dan menyampaikan tali pinggang Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia kategori Light Heavyweight kepada Muhammad Farkhan.

Muhammad Farkhan berkata kemenangan itu adalah pencapaian baru dirinya dengan memenangi dua tali pinggang bagi dua kategori berbeza apabila dia menjuarai kategori 'cruiserweight' WBC Asia di Far East Square, Singapura, pada Julai tahun lalu.

Ini menjadikannya satu-satunya peninju negara yang memenangi dua tali pinggang bagi dua kategori berat berbeza iaitu 'cruiserweight' dan 'light heavyweight'.

Dalam perkembangan berkaitan, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah kepada Muhammad Farkhan kerana menjadi satu-satunya peninju negara memenangi dua tali pinggang bagi dua kategori kelas berbeza.

"DPPM mengharapkan kejayaan beliau ini dapat diteruskan pada masa akan datang, dengan kejayaan untuk mencapai kejuaraan utama WBC peringkat antarabangsa.

"DPPM juga menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk memberikan sokongan kepada Muhammad Farkhan untuk menjadi juara dunia WBC suatu hari nanti," katanya dalam kenyatan media.

Lihat Komen
ADS