Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
FAM nafi ada berhutang dengan Kafa
Diterbitkan:  Jan 12, 2017 5:43 PM
Dikemaskini: 9:48 AM

FAM menafikan persatuan itu berhutang dengan Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) seperti didakwa Tan Sri Annuar Musa sebelum ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata dakwaan bekas presiden Kafa itu adalah tidak berasas dan tidak sepatutnya berlaku.

Menurut Hamidin, FAM pada 30 Disember lalu sudah mengkredit semua hadiah wang kemenangan Liga Super dan Liga Premier untuk musim 2016 kepada pasukan-pasukan berkenaan dengan jumlah keseluruhan RM2.025 juta.

"Istilah geran tahunan kepada setiap pasukan sudah tidak diguna pakai lagi bermula dari musim 2016 apabila liga Malaysia telah diswastakan.

"Setiap pasukan diberi hak sebagai rakan kongsi liga dan mendapat 40 peratus daripada pendapatan hak penyiaran serta komersial di atas penyertaan mereka dalam liga," katanya melalui kenyataan hari ini.

Hamidin menjelaskan, pada musim 2016 kira-kira RM41 juta perolehan daripada hak siaran serta komersial diterima dan daripada jumlah itu 40 peratus - atau RM16.4 juta diagihkan kepada pasukan yang terlibat dalam liga Malaysia.

Setiap pasukan juga, kata Hamidin, diberikan RM1 juta bagi setiap pasukan dalam Liga Super (dengan 12 pasukan semuanya) serta RM500,000 bagi pasukan di Liga Premier (juga 12 pasukan).

FAM juga menyerahkan RM2.025 juta untuk hadiah kemenangan kepada pasukan yang berkenaan.

"Peruntukan agihan hak penyiaran dan komersial untuk pasukan hanyalah RM16.4 tetapi jumlah sebenar yang diberikan kepada mereka ialah sebanyak RM20.025 juta.

"Maka FAM mendahulukan pembayaran sebanyak RM3.625 juta bagi pihak Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP).

"Pemberian agihan tambahan hak-hak penyiaran dan komersial berdasarkan merit mengikut kedudukan dalam liga seperti diamalkan sebelum ini (sehingga musim 2014) tidak dapat diteruskan kerana jumlah perolehan daripada hak-hak siaran serta komersial hanya mencecah RM41 juta, bukan RM70 juta seperti yang disasarkan.

"Pemberian agihan tambahan hak-hak penyiaran dan komersial berdasarkan merit ini boleh dilaksanakan semula pada masa akan datang jika jumlah RM70 juta itu berjaya diperolehi," katanya.

Terdahulu, Annuar mendakwa badan induk bola sepak negara itu mempunyai hutang berjumlah RM2 juta dengan Kafa.

Tambah Hamidin, Kafa sebaliknya mempunyai hutang dengan FAM dan FMLLP berjumlah kira-kira RM430,000.

"Hutang Kafa itu merangkumi gaji tertunggak pemain import Kelantan yang telah diselesaikan FAM pada 2016 selepas permohonan (Kafa) meminta bantuan FAM mendahulukan wang berkenaan, denda-denda kes tatatertib serta hutang levi tiket yang masih belum dijelaskan kepada FMLLP," ujarnya.

Lihat Komen
ADS