Nasib tak sebelahi Dragons di Hong Kong
Bagaikan ditimpa malang berkali-kali, Westports Malaysia Dragons kalah dalam perlawanan kali pertama dengan Hong Kong Eastern Long Lions dengan perbezaan 17 mata, 87-70.
Bertempat di Stadium Southorn di Wan Chai, Hong Kong, Dragons memberi saingan menarik pada separuh masa pertama namun gagal meneruskan prestasi cemerlang dalam masa kedua.
Pasukan Malaysia kini masih di tangga keempat dalam liga dengan satu kemenangan dan kalah dalam empat perlawanan.
Marcus Melvin mendapat jaringan 21 mata manakala Ma Chee Khuen dan Freddie Goldstein masing-masing memperoleh 14 dan 12 mata.
Namun Ketiadaan Kuek Tian Yuan yang mengalami kecederaan pergelangan kaki sejak Piala Agong pada Disember lalu, menyukarkan rentak Dragons.
Ketua jurulatih Dragons, Christopher Thomas yang kelihatan agak kecewa mengakui Dragons nampak mudah berputusa asa apabila Lions mula memberi tekanan dalam perlawanan itu.
"Pemain Dragons mudah memberi ruang apabila ditekan oleh pihak lawan dan lantas berputus asa. Secara amnya, apabila berlaku situasi sebegini, kita perlu balik kepada rancangan awal dan memberi sepenuh fokus dalam perubahan dalam gelanggang," kata Thomas.
Dalam suku pertama, pemain tempatan Loh Shee Fai dan Ma Chee Kheun melakukan pergerakan agresif. Meskipun bukan mudah berdepan Marcus Elliot dan Tyler Lamb dengan jaringan tiga mata bertubi-tubi, Dragons masih dapat menangkis serangan mereka.
Stadium mula merasai kehangatan apabila Skylar Spencer melakukan aksi 'dunk' pada minit terakhir suku pertama dan selepas itu, satu lagi jaringan daripada Ivan Yeo mengurangkan defisit kepada satu mata, 20-19.
Cubaan saat terakhir daripada Freddie Goldstein untuk menyamakan pungutan mata tidak kesampaian dan suku pertama tamat dengan 22-19.
Dalam suku kedua perlawanan, tampaknya agak sukar untuk Dragons mematahkan serangan Lions dengan jaringan tiga mata mereka.
Acap kali Freddie Goldstein terlepas jaringan lay up, dan mujur Skylar Spencer mendapat rebound kembali untuk put back. Pada 7:20 minit suku kedua, Dragons kembali di hadapan dengan jaringan tiga mata daripada Marcus Melvin.
Ketiadaan pemain Lions, Marcus Elliot dalam gelanggang memberi peluang Dragons mengorak langkah serangan hendap. Marcus Melvin dan Ma Chee Khuen menjaringkan 5 mata sebelum time out pada minit 4:54, menjadikan Dragons di hadapan 30-31.
Ketika Tyler Lamb kembali dalam gelanggang dan Sullivan juga mendapat jaringan dua mata untuk meletakkan Lions di hadapan, namun lontaran tiga mata Loh Shee Fai dan Marcus Melvin meranapkan impian Lions.
Berbaki dua minit lagi dalam suku kedua, Dragons di hadapan dengan tiga mata, 34-37.
Pada 39 saat terakhir selepas time out, ketua pasukan Dragons Ma Chee Khuen mendapat jaringan tiga mata untuk mengakhiri separuh masa pertama, 36-40.
Strategi pertahanan Thomas untuk mengekang pick and roll daripada HK Lions mula menampakkan hasil, memberi Dragons peluang untuk mematahkan serangan pihak lawan.
Suku ketiga tidak memihak kepada Dragons apabila Marcus Elliot kembali ke gelanggang dan menjaringkan enam mata untuk Lions.
Tyler Lamb juga tidak ketinggalan menyumbangkan lay up mudah, meletakkan HK Lions kembali di hadapan dalam 4 minit terakhir dalam suku ketiga dengan 11 mata, 56-45.
Berbaki satu minit dalam suku ketiga, Dragons masih ketinggalan 8 mata, 60-52 dan dua pemain Dragons, Loh Shee Fai dan Freddie Goldstein mendapat tiga foul. Cubaan saat akhir buzzer beater Skylar Spencer tidak kesampaian dan mengakhiri suku ketiga dengan 66-53.
Pada permulaan suku keempat, Tyler Lamb dan Chan Siu Wing dari HK Lions menjaringkan 6 mata pada minit pertama suku terakhir. HK Lions di hadapan dengan 13 mata, 72-56. Nasib tidak memihak kepada Dragons apabila jaringan demi jaringan daripada Marcus Elliot dan Tyler Lamb tidak mampu dikekang.
Pada dua minit terakhir, ketua jurulatih Dragons Christopher Thomas memasukkan semua pemain tempatan, Syahrul Rosli dan Ting Chun Hong ke gelanggang.
Ivan Yeo berjaya mendapat jaringan dua mata dan tiga mata untuk mengakhiri perlawanan yang agak mengecewakan buat pasukan Malaysia yang beraksi di Hong Kong untuk kali pertama.
Kesilapan demi kesilapan oleh Dragons dengan rekod 22 turnover dalam pertemuan ini, memberi ruangan yang besar untuk pasukan lawan menjarakkan penguasaan mereka.
Marcus Elliot membuktikan kebolehannya dengan jaringan 31 mata, 10 rebound, 4 assist dan 4 steal, manakala Tyler Lamb pula menjaringkan 20 mata untuk HK Lions.
Bagi pemain kebangsaan Dragons, Loh Shee Fai, Dragons tidak dapat mengekang perubahan dalam gelanggang dan lambat mengubah serangan dan pertahanan.
"Ditambah lagi dengan perbezaan mata yang terlalu jauh, kami sukar mengejar jurang itu," kata Loh.
Malaysia Dragons akan kembali bertemu Alab Pilipinas pada Ahad ini di Gem In Mall, Cyberjaya pada pukul 8 malam.
Pasukan Filipina itu mengejutkan Singapore Slingers dan menundukkan mereka 74-72 dalam perlawanan yang diadakan pada waktu yang sama dengan Dragons dan Hong Kong Eastern Long Lions.

