Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menjelang permulaan liga Malaysia musim 2017 Jumaat ini, Kedah sudah menyuarakan hasrat untuk mengulangi kegemilangan mereka meraih tiga kejuaraan serentak seperti pernah mereka lakukan pada 2007 dan 2008.

Namun untuk menjadikan impian itu kenyataan, dibahu jurulatih Helang Merah Tan Cheng Hoe dan anak-anak buahnya tergantung cabaran besar.

Berbeza dengan suasana persediaan musim lalu, kali ini kem Hijau Kuning kelihatan tenang di samping menjalani perlawanan pramusim dengan cemerlang.

Dalam tujuh perlawanan persahabatan, mereka meraih lima kemenangan dan dua keputusan seri. Ia dilihat permulaan baik sebelum sepak mula Piala Sumbangsih menentang JDT 20 Januari ini.

Cheng Hoe bagaimanapun memilih sikap bersederhana ketika memuji prestasi awal barisan pemainnya.

"Saya berpuas hati dengan prestasi pasukan selepas beberapa siri perlawanan pramusim, tetapi pasukan yang dihadapi mungkin bukan setara.

"Itu tidak boleh diambil sebagai ukuran prestasi (pasukan) sepenuhnya," katanya kepada Malaysiakini Sukan.

Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dilaporkan berkata, beliau mahu pasukan negerinya mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dijulang musim lalu, di samping cuba memburu gelaran juara Liga Super dan Piala FA.

Sementara itu, Cheng Hoe menegaskan menjadi impiannya untuk memastikan barisan pemain mempersembahkan aksi terbaik berbanding pencapaian musim lalu.

Walaupun mengekalkan 90 peratus pemain musim lalu, katanya, pengalaman mereka beraksi bersama selama tiga musim diharap menjadi taruhan.

"Musim ini kebanyakan pemain dikekalkan, manakala dua pemain import baru dibawa masuk.

"Jadi kita harapkan pengalaman beraksi bersama musim lalu lebih memberi kefahaman antara pemain," katanya yang berjaya mengangkat Kedah dari Liga Perdana ke Liga Super pada 2015.

Mengulas pertemuan dengan skuad Harimau Selatan untuk merebut Piala Sumbangsih, bekas penolong jurulatih Harimau Malaysia itu mengharapkan keputusan positif menyebelahi mereka.

"Kita tahu JDT tukar ramai pemain baru termasuk pemain import, kita belum tahu sejauh mana prestasi mereka.

"Pemain JDT kalau keluar lima orang, mereka bawa lima pemain lain yang lebih berkualiti," katanya yang mengendali pasukan Kedah untuk musim keempat.
 

Lihat Komen
ADS