Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Salam 3-1 dari JDT, Helang Merah terbang megah
Diterbitkan:  Jan 27, 2017 11:03 PM
Dikemaskini: 4:06 PM

Malam yang menarik untuk Liga Super. JDT membenam Felda United selepas skuad pelawat dihukum dengan kad merah, Tok Gajah mengamuk Kuantan dan juara Piala Malaysia membuat kebangkitan yang gah.

Pada aksi kedua Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos sebentar tadi, anak buah Benjamin Mora mengambil masa tiga minit untuk meraih kedudukan selesa 3-1 selepas terikat 1-1 pada separuh masa pertama.

Kekasaran dilakukan pemain pertahanan Felda United, Hasni Zaidi Jamian, ke atas pemain sayap JDT, Safawi Rasid, menjadi detik penting buat pasukan tuan rumah menundukkan skuad bimbingan Azmi Mohamed itu.

Melalui terjahan keras pada minit ke-59, pengadil perlawanan menghukum Hasni Zaidi dengan kad kuning keduam sekali gus kad merah yang jelas memberi kelebihan kepada JDT.

Susulan itu, JDT dilihat tidak berlengah lagi untuk menggempur benteng pertahanan Felda United dan berjaya mencipta gol kedua melalui rembatan Gonzalo Cabrera pada minit ke-62.

Berselang tiga minit kemudian, Brian Ferreira pula menambah duka skuad The Fighters dengan gol ketiga untuk JDT.

Terdahulu, pada 45 minit pertama menyaksikan Felda United mengejutkan penyokong tuan rumah dengan jaringan awal Norsharul Idlan Talaha di minit ke-22.

Skuad Harimau Selatan agak tertekan seketika dengan rentak persembahan Felda United walaupun mereka bermula dengan baik pada awal permainan.

Dua minit dua gol

Menyedari mereka perlu menang di laman sendiri, kapten JDT Safiq Rahim, dan rakan-rakannya gigih mengimbangi tempo kemaraan pasukan lawan.

Ternyata kegembiraan pasukan pelawat hanya seketika. Berpunca daripada sepakan penjuru - Fadhli Shas tampil dengan tandukan padu untuk gol penyamaan yang pastinya melegakan penyokong-penyokong mereka.

Fadhli cemerlang menyambut sepakan kencang Safiq sekali gus membolosi gawang yang dikawal Farizal Harun.

Gol penyamaan itu menjadi penyuntik semangat buat JDT apabila mereka tampil lebih banyak mengatur serangan dengan gerakan-gerakan pantas menguji pertahanan lawan khususnya di babak masa kedua.

Keputusan 3-1 di Larkin itu membolehkan JDT mengutip tiga mata penuh pertama selepas seri 1-1 bertemu Kedah pada aksi sulung musim ini, Jumaat lalu.

Sementara itu di Stadium Darul Aman, Alor Setar, anak buah Tan Cheng Hoe pula bangkit menjinakkan skuad Kenyalang 3-2 walaupun sebelum itu mereka ketinggalan 1-2.

Sarawak membuka jaringan seawal minit ke-10 melalui jaringan Mark Hartmann sebelum gol penyamaan Kedah dicipta kapten mereka Baddrol Bakhtiar hanya 11 minit kemudian.

Bagaimanapun, skuad Bujang Senang itu kembali berada di depan melalui Nur Syamie yang membuat jaringan pada minit ke-26 untuk kedudukan 2-1 sehingga tamat separuh masa pertama.

Apabila babak kedua bersambung, skuad Helang Merah menunjukkan kesungguhan dengan membuat kebangkitan membanggakan, sekaligus  mengatasi penguasaan Sarawak melalui dua gol dalam tempoh hanya dua minit - terima kasih kepada Sandro da Silva Syazwan Zainol.

Da Silva merekodkan jaringan penyamaan pada minit ke-70 sebelum dimuktamadkan oleh Syazwan Zainol pada minit ke-72.

Dan aksi di Stadium Darul Makmur Kuantan menyaksikan skuad Pahang membelasah T-Team dengan keputusan 5-0.

Skuad Tok Gajah yang dibimbing bekas jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh, seolah-olah memberi amaran awal kepada pesaing lain di Liga Super musim ini dengan peningkatan prestasi memberangsangkan berbanding musim lalu.

Kejayaan Pahang malam ini juga meletakkan mereka berada di tangga teratas liga dikuti JDT, Selangor, Kedah dan Perak dengan masing-masing mengutip empat mata hasil dua perlawanan.

Keputusan penuh perlawanan kedua:

PKNS FC 1- 3 Kelantan
JDT 3-1 Felda United
kedah 3-2 Sarawak
Pahang 5-0 T-Team
Selangor 1-1 Melaka United
Pulau Pinang 0-1 Perak
 

Lihat Komen
ADS