Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan memperkenalkan Kejohanan Kebangsaan mulai tahun ini bagi menggantikan sirkit grand prix yang dipertandingkan sejak awal 1990-an.

Ini bererti tiada lagi kejohanan terbuka negeri-negeri, sebaliknya hanya satu kejohanan peringkat kebangsaan diadakan sekali setahun.

Pemangku Presiden BAM, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid berkata kejohanan kebangsaan tahun ini akan diadakan pada 19-25 Feb ini di Dewan Sri Perdana Kolej Sains Bersekutu Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta, Perak.

"Kejohanan itu akan bermula dengan pusingan kelayakan pada 19-21 Feb manakala pusingan utama dari 22-25 Feb.

"BAM mendapati kejohanan sirkit kebangsaan divisyen I dan II perlukan penambahbaikan. Perkara yang sering dibangkitkan dalam mesyuarat adalah sirkit kebangsaan kurang mendapat sambutan.

"Ini kerana kebanyakan pemain terbaik negara tidak menyertainya," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Mohamed Al Amin berkata Kejohanan Kebangsaan itu penting bagi memastikan standard kejohanan tempatan sentiasa meningkat dengan penyertaan pemain terbaik negara.

Kejohanan terbaru ini akan menampilkan pilihan utama seperti Iskandar Zulkarnain Zainuddin bagi perseorangan lelaki, Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Woon Khei Wei-Vivian Hoo (beregu wanita).

Lai Pei Jing-Tan Kia Meng dan Chan Peng Soon-Chow Mei Kuan (beregu campuran) serta penampilan beregu lelaki, Tan Wee Kiong dan Goh V Shem bersama gandingan baharu.

"Kejohanan ini diperkenalkan untuk memastikan penyertaan daripada pemain profesional negara yang berada dalam ranking terbaik dunia walaupun tidak disertai Datuk Lee Chong Wei," katanya.

Jumlah hadiah keseluruhan adalah RM270,000 dengan juara perseorangan lelaki menerima RM20,000, perseorangan wanita (RM14,000), beregu lelaki (RM30,000), beregu wanita (RM20,000) dan beregu campuran (RM20,000).

-Bernama

Lihat Komen
ADS