Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh Liu Ying, yang kini dibelenggu kecederaan lama, menganggap cabaran muka baharu dalam acara beregu campuran akan memberi satu saingan yang kompetitif.

Liu Ying, yang bergandingan dengan Chan Peng Soon sejak 2009, tidak menganggap kehadiran muka baharu menjejaskan kariernya selaku pasangan utama beregu campuran negara.

Pemain berusia 28 tahun itu tidak menafikan beregu campuran seperti Tan Kian Meng/Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat/Shevon Lai Jemie mempunyai kekuatan tersendiri serta berpeluang cerah dalam sukan itu.

"Semangat sepasukan antara kami (beregu campuran) sangat kuat. Setiap pagi dalam latihan, Peng Soon sering mengajar pemain junior, jadi kami satu pasukan bersama-sama bekerja keras dalam latihan.

"Kami bangga dengan beregu campuran lain, mereka juga dapat memberikan keputusan yang cemerlang dalam kejohanan. Saya tidak menganggap ia satu tekanan," katanya kepada pemberita selepas menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di Kuala Lumpur hari ini.

Liu Ying terpaksa berehat daripada menyertai beberapa kejohanan awal tahun ini kerana kecederaan kedua-dua belah lututnya masih dalam proses pemulihan dan beliau dijadualkan akan beraksi semula pada Kejohanan Terbuka Jerman 28 Feb hingga 5 Mac dan Kejohanan All England pada 7-12 Mac.

Menurutnya, kesakitan kembali dirasainya selepas Kejohanan Terbuka Hong Kong dan Terbuka China tahun lepas.

"Saya hanya menjalani latihan 30 peratus sahaja di gelanggang selebihnya saya perlu pastikan lutut saya sembuh terutamanya sebelah kiri.

"Saya sudah berbincang dengan jurulatih tentang keadaan kecederaan ini dan berharap dapat beraksi pada Mac nanti. Pergerakan lutut saya sangat terhad ketika ini. Keadaan sebelah kiri lebih serius dan kanan masih terkawal," katanya. -Bernama