Samassa perlu lebih masa sesuaikan diri
Pengendali skuad T-Team, Rahmad Darmawan tetap yakin bekas penyerang kelab Liga Perancis, Olympique de Marseille, Mahamadau Samassa mampu menyerlah dan menghasilkan kejutan untuk pasukan itu.
Mengakui aksinya agak perlahan pada babak pertama dalam pertemuan menentang Pulau Pinang malam tadi, Rahmad berkata pemain berusia 30 tahun itu memerlukan masa menyesuaikan diri dengan persekitaran kerana masih baru di negara ini.
Begitupun, Samassa yang pernah berada dalam skuad bawah 21 tahun Perancis sebelum mewakili negara asal ibu bapanya, Mali, di peringkat senior, menyumbang gol tunggal perlawanan ketika menundukkan Pulau Pinang 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Ketika menanti Samassa menemui sentuhannya, Rahmad berdepan kebimbangan lain apabila pertahanan tengahnya, Abdoulay Youssouf Maiga yang cedera dalam perlawanan semalam, berdepan kemungkinan diketepikan untuk perlawanan akan datang menentang Melaka United.
"Tahap kecederaan Maiga masih belum dapat dipastikan namun jika kecederaannya teruk, beliau mungkin akan berehat antara dua dan tiga minggu," katanya yang ditemui selepas perlawanan semalam.
Mengulas aksi keseluruhan pasukannya, Rahmad mengakui pemain masih belum menampilkan corak permainan yang diharapkannya.
"Pulau Pinang bermain agak baik hingga pemain saya terikut-ikut rentak mereka. Pemain masih perlu bekerja keras lagi jika tidak mahu dihukum pasukan lawan," katanya.
Menurut Rahmad, beliau akan mengatur strategi baru untuk berdepan Melaka United dengan mengambil kira keadaan fizikal pemain termasuk yang berdepan kecederaan serta membentuk keserasian yang lebih mantap dalam kalangan pemain.
- Bernama

