Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa menjelaskan keputusannya untuk bertanding jawatan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana bimbang tiada calon lain berbuat demikian.

Menurutnya, selepas mendapat tahu tiada individu lain yang menerima pencalonan, beliau mengambil keputusan untuk menghantar borang bagi merebut jawatan itu.

"Semalam saya tanya (FAM) sesiapa yang telah jawab (sahkan) nak bertanding, mereka kata tiada.

"Jadi saya takut tak ada orang nak bertanding, saya tandatangani borang dan setakat ini saya seorang saja yang menyerah borang dan menerima pencalonan," katanya kepada media pada sidang media selepas pertemuan dengan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah China Malaysia (Dong Zong), di Kajang hari ini.

Annuar yang juga ketua penerangan Umno menjadi satu-satunya individu yang menerima pencalonan tersebut setakat hari ini.

Terdahulu, turut dicalonkan bagi jawatan itu Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat.

Sementara itu ketika ditanya 'kalau' Tunku Ismail akan turut bertanding‎, Annuar bagaimanapun enggan mengulas dan menegaskan beliau tidak buat kerja berdasarkan 'kalau'.

"Saya tak boleh komen pasal orang lain, nanti orang marah‎.

‎"Saya tak buat kerja berdasarkan kalau, 'kalau' ini tak habis. Tunggu masa lah, kenapa kalau-kalau, apa yang kalau-kalau," tegasnya.

Tambah ketua penerangan Umno itu, ‎keputusannya untuk bertanding itu dibuat atas kapasiti sebagai peminat dan penyokong bola sepak.

"‎Saya fikir semua orang ada hak, dalam FAM ada peraturan. Saya tak ada jawatan dalam bola sepak.

"Saya hanya peminat dan penyokong bola sepak, saya dicalonkan dan setakat semalam tiada sesiapa terima pencalonan, jadi saya terima," katanya.

Annuar juga enggan mengulas ketika ditanya kemungkinan Khairy Jamaluddin akan menarik diri daripada pencalonan tersebut.

"Saya boleh cakap bagi pihak diri sendiri dan pemilihan itu lambat lagi, 25 Mac, yang orang lain tak boleh sentuh‎.

‎"Kita tunggu lagi, tarikh tutup (pencalonan) 13 Februari, elok saya tak komen," ujarnya.

Lihat Komen
ADS