Meskipun dilihat tidak sehaluan dengan pemilik pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa tetap mendoakan kejayaan pasukan itu.

Menulis di Facebooknya, Annuar berharap JDT akan memperoleh kemenangan ke atas pasukan Gamba Osaka dalam pusingan penentuan kelayakan peringkat Liga Juara-Juara AFC (ACL).

"Beberapa jam lagi JDT bakal bertemu Gamba Osaka dalam play off untuk ke AFC Champions League..

"Penglibatan JDT bolehlah dianggap mewakili Malaysia walaupun ini kejuaraan inter-club.

"Kita semua doakan kemenangan JDT untuk terus mara lebih jauh. Dengan rehat yang cukup, game plan yang baik serta pemain bintang yang hebat kita percaya JDT mampu mencipta kejayaan," kata Annuar petang tadi.

Skuad Harimau Selatan berjaya melangkah ke saingan kelayakan ACL selepas menyingkirkan kelab Thailand, Bangkok United pada 31 Januari lalu.

Sebelum ini, perang mulut antara Tunku Ismail dan Annuar dilihat berlarutan dengan kedua-duanya saling berbalas sindiran antara satu sama lain, terutama di media sosial.

Kemuncak krisis antara mereka apabila Tunku Ismail mendakwa Annuar menggunakan wang daripada Pelaburan MARA dan UniKL untuk menaja pasukan Kelantan.

Tidak lama selepas itu, Annuar digantung sebagai pengerusi MARA berkuatkuasa serta merta pada 31 Januari lalu, manakala Suruhanjaya Penyiasatan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menjalankan siasatan terhadapnya.

Selain itu, Tunku Ismail dan Annuar juga dijangka bakal bersaing bagi merebut jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Annuar sudah mengesahkan pencalonannya, manakala Tunku Ismail mendapat perkenan ayahandanya, Sultan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk merebut jawatan presiden badan induk bola sepak negara itu.