Ketua kontinjen negara (CDM) Sukan SEA 2017, Datuk Marina Chin optimis pasukan bola tampar lelaki negara mampu mencipta
kejutan pada temasya sukan serantau dwitahunan itu, Ogos depan.

Beliau berkata persiapan rapi yang dibuat sejak Oktober tahun lepas serta komitmen tinggi yang ditunjukkan atlet dilihat mampu menamatkan kemarau pingat selama 15 tahun.

"Saya memuji semangat serta komitmen yang ditunjukkan mereka kerana ada yang sanggup menangguhkan pengajian di universiti semata-mata untuk memberikan sepenuhnya tumpuan pada latihan.

"Walaupun mereka ini masih muda dan tidak berpengalaman, tetapi saya melihat pasukan bola tampar kali ini lebih bersedia dan mampu untuk mempamerkan prestasi terbaik pada Sukan SEA nanti," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke venue latihan bagi meninjau persiapan skuad bola tampar lelaki negara bagi menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Institut Sukan Negara (ISN) di Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, jurulatih skuad bola tampar lelaki negara, Tay Yeu Siong menegaskan meskipun dibarisi sebahagian besar pemain muda dan tidak berpengalaman, pasukannya mampu meraih pingat.

"Saya tahu pasukan ini dibarisi pemain muda, tetapi saya yakin kita mampu untuk meraih pingat kerana itu juga merupakan sasaran kami," jelasnya.

Sebagai persedian, Skuad bola tampar lelaki negara bakal menyertai Kejohanan Bola Tampar Piala Datuk Bandar Shah Alam Mac ini sebelum berlepas ke Iran bagi menyertai Kejohanan Bola Tampar B-23 Asia pada bulan Mei.

Untuk rekod, kali terakhir pasukan bola tampar lelaki negara menyumbang pingat pada temasya Sukan SEA adalah pada edisi 2001 apabila meraih pingat perak selepas tewas kepada negara jiran, Thailand. -Bernama