Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Kedah menjadi-jadi, JDT atasi Felda United
Diterbitkan:  Feb 14, 2017 10:59 PM
Dikemaskini: 3:57 PM

Skuad Kedah terus mara, malah semakin menjadi-jadi prestasinya dengan menewaskan Kuala Lumpur 4-2 pada pusingan kedua Piala FA 2017, malam ini.

Aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar itu turut menjadi kenangan indah buat pemain muda Helang Merah, Farhan Roslan yang merekodkan hatrik pertama peribadinya.

Selepas pemain import, Liridon Krasniqi membuka jaringan pada minit ke-32, giliran Farhan pula menambah gol tiga minit berselang.

Juga digelar sebagai 'Messi Kedah', pemain berusia 20 tahun itu ternyata membalas kepercayaan diberikan jurulatih Tan Cheng Hoe.

Gol ketiga Kedah juga menjelma melalui sentuhan Farhan pada minit ke-42 selepas menerima umpanan cantik dari Liridon.

Kembali dari bilik persalinan untuk 45 minit kedua, Farhan sekali lagi menggembirakan penyokong Kedah melengkapkan hatriknya pada minit ke-62.

Bagaimanapun, gawang Kedah tetap dibolosi dengan jaringan sendiri pertahanan Kedah, Zach Anderson sebelum gol kedua dijaringkan Ibrahim Syaihul sebelum wisel penamat ditiupkan pengadil.

Sementara itu, di Stadium tun Abdul Razak, Jengka, JDT selaku juara bertahan berjaya menyingkirkan Felda United daripada saingan Piala FA musim ini dengan keputusan 2-0 pada aksi kalah mati itu.

Walaupun hanya menurun dua pemain import dan tanpa beberapa pemain utama tempatan, anak buah Benjamin Mora tetap menjalankan tugas mereka dengan sempurna.

Tampil di hadapan penyokong lawan, Harimau Selatan menguasai bola di atas padang rumput tiruan tuan rumah seawal separuh masa pertama.

Keberadaan kapten Safiq Rahim dan penyerang tengah, Faiz Nazmi Mansor memastikan corak persembahan JDT sukar dibaca pihak lawan.

Namun, kehadiran pemain import baru dari JDT II iaitu Gabriel Guerra ternyata membuahkan hasil. Kedua-dua gol diperolehi JDT terhasil melalui bekas penyerang dari Argentina itu pada minit ke-12 dan 80'.

Pahang pula berjaya mengenepikan JDT II dengan keputusan 4-2 pada aksi di Johor Bahru.

Awalnya, kedua-dua pasukan itu terikat 2-2 untuk 90 minit masa perlawanan.

Perhitungan di masa tambahan ternyata memihak kepada skuad Tok Gajah untuk mara ke pusingan ketiga.

Selain itu, Selangor turut tersingkir apabila tewas kepada Negeri Sembilan 3-4 dalam penentuan penalti selepas terikat tanpa jaringan dalam aksi 120 minit.

Keputusan-keputusan lain:

Felda United 0-2 JDT
JDT II 2-4 Pahang
Kedah 4-2 Kuala Lumpur
Melaka United 1-0 PKNS FC
MPKB-BRI U-BeS 0-1 Penang
T-Team 1-1/p4-2 ATM
PKNP FC 1-1/p4-3 Kelantan
Selangor 0-0/p3-4 N Sembilan
Sabah 1-0 UKM FC
Sarawak 6-3 MISC-MIFA
Perlis 1-0 PDRM FA
Petaling Jaya Rangers 1-2 UiTM FC


[Berita lanjut menyusul]

Lihat Komen
ADS