Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Skuad bola keranjang wanita negara menyasarkan untuk mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, yang dijadual berlangsung pada 19 hingga 31 Ogos.

Ketua jurulatih pasukan bola keranjang wanita, Yoong Sze Yuin optimis sasaran itu mampu dicapai memandangkan prestasi anak buahnya kini berada di landasan tepat selain menunjukkan semangat yang tinggi.

Mengakui beraksi sebagai pasukan tuan rumah bakal memberi sedikit tekanan kepada skuad kendaliannya, beliau bagaimanapun menegaskan perkara itu dapat diatasi apabila memasuki persiapan fasa ketiga.

"Sekarang kami sangat bermotivasi ketika menjalani latihan, semua pemain memberikan tumpuan sepenuhnya dan kami telah pun berada di dalam situasi untuk bertanding di Sukan SEA nanti.

"Usaha mempertahankan emas dengan berstatuskan pasukan tuan rumah sudah pasti memberi tekanan berganda, tetapi ia dapat diatasi melalui persiapan dari segi mental apabila memasuki fasa ketiga nanti," katanya.

Yoong berkata demikian kepada pemberita selepas sesi latihan pasukan itu yang turut dihadiri Ketua Kontinjen Negara (CDM) ke Sukan SEA 2017, Datuk Marina Chin, yang membuat lawatan ke venue berkenaan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Yoong turut memaklumkan beberapa siri perlawanan persahabatan di luar negara akan diadakan sebagai pendedahan terhadap saingan sebenar sebelum menimbang cadangan menghantar anak buahnya bertanding pada kejohanan jemputan di Banglore, India.

"Kami akan ke Perth, Australia Mac ini dan Yamagata, Jepun pada Mei untuk menentang beberapa pasukan di kedua-dua negara tersebut, sebelum mungkin bertanding di sebuah kejohanan jemputan," jelasnya.

Sementara itu, kapten pasukan, Nur Izzati Yaakob menyifatkan perlawanan persahabatan di luar negara itu mampu mengenal pasti keupayaan pasukan.

"Perlawanan persahabatan di Australia dan Jepun itu sangat penting kerana ia dapat meningkatkan lagi prestasi permainan kami dan memperbaiki segala kelemahan," katanya. -Bernama

Lihat Komen
ADS