Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

Tarikh 16 Februari pastinya menjadi detik indah dalam perjalanan karier pemain Pulau Pinang, Faiz Subri selepas kejayaannya meraih Anugerah Puskas Fifa 2016, Januari lalu.

Jaringan ajaib pemain kelahiran Ayer Hitam, Kedah itu dilakukan pada tarikh ini tahun lalu ketika membantu skuad Harimau Kumbang menewaskan Pahang 4-1 pada aksi Liga Super.

Dan Pulau Pinang dijadualkan akan menentang Pahang bagi perlawanan kelima musim 2017 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, esok.

Pasti ramai peminat ternanti-nanti seandainya bulan Februari sekali lagi memberi tuah buat Faiz walaupun skuad Pulau Pinang kini dibelenggu prestasi merudum.

Selepas tewas empat perlawanan berturut-turut tanpa sebarang gol di kancah Liga Super, skuad bimbingan Ashley Westwood akhirnya 'pecah telur' ketika bertemu pasukan MPKB-BRI U-BeS dengan kemenangan 1-0 dalam saingan kedua Piala FA, Rabu lepas.

Bagaimanapun, Faiz nampaknya tidak menjadi pilihan Westwood sebagai pelengkap kesebelasan utama sejak kebelakangan ini sekali gus hanya memanaskan bangku simpanan atau sebagai pemain gantian.

Jika diperhatikan pada dua perlawanan terawal mereka, pemain berusia 30 tahun itu tetap menjadi ancaman dengan rembatan cantiknya ke arah gol gawang.

Walaupun tidak menghasilkan gol, sepakan mirip jaringan Puskas yang dilakukan sebelum ini tetap menjelma.

Misalnya pada aksi menentang Selangor 21 Januari lalu, sepakan bebas jarak jauh dilakukan Faiz ternyata melencong ke arah pintu gol hampir memperdaya penjaga gol lawan.

Kemudian, sepakan Faiz sekali lagi menarik perhatian ramai pada perlawanan kedua berdepan Perak di Stadium Negeri Batu Kawan, 27 Januari lalu.

Sepakan lencongnya berjaya melepasi hadangan pertahanan oleh pemain Perak sebelum singgah di palang gol. Ternyata tuah belum memihak kepadanya untuk mengulangi sepakan ajaib itu.

Berdepan skuad Tok Gajah kali ini, apakah Faiz akan kembali menjadi sandaran kepada Westwood? rekod pertemuan musim lalu menyaksikan Pulau Pinang tewas tipis 0-1 di Kuantan selepas kemenangan 4-1 di gelanggang sendiri.

Dalam usaha mereka untuk meraih kemenangan pertama, Harimau Kumbang berdepan cabaran berat selepas prestasi cemerlang ditunjukkan Pahang.

Kembalinya Dollah Salleh sebagai jurulatih baru, mereka sudah meraih dua kemenangan, satu seri dan sekali tewas pada empat aksi terdahulu.

Selain itu, mereka melakar kemenangan besar 4-2 ketika berkunjung ke Stadium Pasir Gudang, Johor menentang JDT II pada pusingan kedua Piala FA.

Yang pasti ketika ini, Faiz dan rakan-rakan memerlukan sokongan pemain ke-12 iaitu penyokong tegar mereka di sebalik wujudnya keadaan kurang harmoni antara penyokong dan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang.

Kedudukan Pulau Pinang di tangga tercorot liga ketika ini pastinya menjadi membimbangkan penyokong dengan kemungkinan untuk tersingkir ke Liga Perdana walaupun saingan masih di fasa awal musim.

Lihat Komen
ADS