Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemain Perancis, Caroline Garcia berharap untuk mengulangi kejayaan musim lepas dalam usaha memburu sasaran menduduki
kelompok ranking 10 terbaik dunia.

Pemain berusia 23 tahun itu, yang kini menghuni ranking ke-24 dalam senarai Persatuan Tenis Wanita (WTA), mengesahkan penyertaan kali kedua pada kejuaraan tenis Terbuka Malaysia WTA di TPC Kuala Lumpur dari 27 Februari hingga 5 Mac
ini.

Pada penampilan pertama pada 2012, Garcia ketika itu berusia 18 tahun dan menduduki ranking ke-142, gagal melepasi pusingan pertama apabila tumpas kepada pemain Serbia, Jelena Jankovic.

"Saya mahu memberi tumpuan pada kejohanan WTA dan Grand Slam dengan sasaran berada dalam kelompok 10 pemain terbaik dunia," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh penganjur kejohanan di Kuala Lumpur, hari ini.

Garcia, yang menamatkan musim 2016 sebagai beregu nombor dua dunia bersama gandingannya, Kristina Mladenovic, menyifatkan tahun lepas sebagai musim terbaik dalam kariernya apabila merangkul dua gelaran acara perseorangan serta membantu Perancis layak ke final Piala Fed.

Tahun lepas, Garcia, yang menjadi pemain profesional pada 2011, menjuarai Kejohanan Antarabangsa WTA Strasbourg di Perancis dan WTA Mallarco (Sepanyol) dan muncul naib juara kejuaraan WTA Limoges (Perancis).

Pusingan kelayakan WTA Terbuka Malaysia akan berlangsung pada 25 dan 26 Feb ini manakala perlawanan undian utama bermula pada hari berikutnya dengan final acara perseorangan dan beregu dijadual pada 5 Mac ini. -Bernama

Lihat Komen
ADS