Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, beliau 'sangat takut' dengan lawannya, Tan Sri Annuar Musa dalam merebut gelaran presiden FAM.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan hadirin apabila bertanya sama ada beliau 'gerun' apabila berdepan Annuar yang turut bertanding jawatan presiden FAM.

"Uuuu... takut betul", kata Tunku Ismail sambil tersenyum sinis pada perjumpaan tertutup Tunku Mahkota Johor dengan penyokong bola sepak tanah air di ibu negara hari ini.

Memahami ramai pihak tidak berpuas hati dengan struktrur FAM ketika ini, Tunku Ismail berkata beliau akan melakukan perubahan sekiranya beliau menjadi presiden badan induk bola sepak negara itu.

Perubahan yang akan dilakukan menurutnya adalah memastikan agar suara penyokong akan sentiasa didengari oleh pimpinan tertinggi FAM.

"Saya pun macam anda juga (tak puas hati struktur FAM). Banyak suara penyokong yang tak dapat disampaikan pada pemimpin tertinggi FAM.

"(Sekiranya jadi presiden), setiap tiga bulan penyokong bebas untuk bercakap apa hala tuju bola sepak.

"Saya pun dahagakan perubahan juga sama seperti awak semua," katanya yang memberitahu bahawa sekiranya menjadi presiden, setiap tiga bulan FAM akan mengadakan perjumpaan dengan penyokong bagi mendengar cadangan atau kritikan mereka.

Mahu lihat perubahan

Selain itu, menjawab soalan hadirin yang bertanya mengapa beliau membuat pusingan-U ekoran kenyataannya sebelum ini enggan bertanding presiden FAM, Tunku Ismail berkata beliau hanya memikirkan tentang masa depan bola sepak negara.

Mengakui lebih selesa berada di Johor, Tunku Ismail berkata disebabkan bimbang FAM akan diurus oleh individu yang salah menyebabkan beliau bertanding kerusi utama badan tersebut.

"Saya lebih selesa di Johor. Buat apa jadi presiden FAM. Asyik kena hentam je.

"Tetapi saya berada di sini kerana terfikir selama 31 tahun, penyokong bola sepak tanah air nak sangat tengok perubahan. Apa akan jadi jika bola sepak tanah air jatuh pada orang yang salah?

"Sekurang-kurangnya saya terima pencalonan. Saya cuba yang terbaik. Lepas itu penyokong nilai dengan mata sendiri dan fikir sendiri. Kalau rasa saya bukan orang yabg sesuai dengan tugas itu (presiden FAM), itu kuasa anda semua untuk cari orang lain.

"Saya nak beri yang terbaik untuk pasukan kebangsaan," jelas Tunku Ismail.

Lihat Komen
ADS