Paling Popular
Terkini
story images
story images

Pertembungan 'adik-abang' tetap menjadi perhatian khususnya peminat bola sepak di utara tanah air pada aksi keenam Liga Super, esok.

Kedah yang kini mendahului liga bakal melayan kunjungan skuad Pulau Pinang di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Perlawanan yang boleh dianggap seperti 'antara dua darjat' itu pastinya memberi tekanan tinggi kepada kedua-dua pasukan.

Skuad Helang Merah tentu mahu meneruskan momentum kemenangan mereka dan pada masa sama pasukan Harimau Kumbang sangat terdesak mahukan mata kemenangan ketika mereka kini berada di kedudukan tercorot liga.

Pulau Pinang setakat ini belum memperoleh walaupun satu mata ketika Kedai berada di tempat teratas dengan 11 mata.

Anak buah Ashley Westwood dilihat perlu untuk memenangi tiga perlawanan akan datang - termasuk Kedah yang juga juara Piala Malaysia 2016 - sekiranya mahu memperbaiki kedudukan sekali gus melayakan mereka ke saingan Piala Malaysia 2017.

Namun, kecemerlangan ditunjukkan anak buah Tan Cheng Hoe melalui lima perlawanan lalu dilihat hampir mustahil untuk skuad Pulau Pinang menjadikan mereka sebagai mangsa pertama.

Malah, di atas kertas Harimau Kumbang sebenarnya sudah terdampar di Pulau Jerejak merintih luka cakaran Helang Merah.

Kian berputus harap

Khabar angin dan sumber pula mengatakan, persediaan Westwood ketika turun berdepan Kedah malam esok agak kritikal.

Jurulatih dari England itu dikatakan kemungkinan besar akan menurunkan penjaga gol ketiga untuk mengawasi gawang mereka selepas penjaga gol kedua Sani Anuar Kamsani bolos enam gol pada perlawanan minggu lalu.

Penjaga gol utama mereka, Syed Adney Syed Hussein pula dikatakan tidak menjadi pilihan Westwood selepas hubungan kedua-dua mereka agak dingin.

Justeru, gawang Pulau Pinang dilihat bakal diawasi seorang lagi penjaga gol mereka iaitu Amirul Asyraf Mohd Suhaidi.

Selain itu, kemampuan barisan pertahanan Harimau Kumbang turut boleh dipersoal selepas 11 kali gawang mereka dibolosi pada perlawanan lalu ketika ia dikawal tiga pemain import.

Pembelian pemain import untuk posisi pertahanan oleh bekas jurulatih Bengaluru FC itu nampaknya tidak berbaloi, malah di kalangan penyokong mereka sendiri mempersoalkan tindakan tersebut.

Tindakan jurulatih itu mengambil tiga pemain asing untuk memperkemaskan jentera pertahanan nampaknya begitu diragui walaupun ia dia mencipta kelainan berbanding pasukan-pasukan lain.

Sementara itu, skuad Cheng Hoe pastinya tidak bermasalah dalam aspek pemilihan pemain selepas kejayaan mereka menewaskan Kelantan di Kota Bharu, Sabtu lalu.

Malah, sebelum itu Kedah membelasah Pahang di gelanggang keramat mereka dengan jaringan 4-1.

Momentum positif itu dilihat menjadi sebab betapa getirnya ujian dihadapi Pulau Pinang dalam usaha mereka meraih mata sulung sekali gus mengambil hati penyokong mereka yang mulai berputus harap.

Lihat Komen
ADS