Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Juara bertahan, Lim Chi Wing menyekat kebangkitan yang cuba dilakukan Misbun Ramdan Misbun, apabila mempertahankan kejuaraannya di final badminton Kejohanan Kebangsaan di Ipoh, hari ini.

Saingan sengit yang diharapkan tidak menjadi kenyataan apabila Chi Wing mengesahkan kejuaraannya dengan agak mudah apabila Misbun Ramdan, juara 2012, hanya memberi tentangan pada set pertama.

Chi Wing, 22, yang mewakili Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menang 21-19, 21-8 dalam perlawanan yang hanya berlangsung selama 31 minit di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Azlan Shah Ulu Kinta.

Menurut Chi Wing, beliau menjangkakan tentangan sengit daripada Misbun Ramdan yang memburu peluang melonjakkan kembali namanya selepas berehat dua tahun akibat kecederaan, namun perlawanan agak mudah tidak seperti jangkaannya.

"Mungkin rali panjang dan taktik memberi tekanan pada lawan, sangat membantu saya memenangi perlawanan ini," kata Chi Wing yang memperoleh RM20,000 sebagai juara.

Misbun Ramdan mengakui permainannya serba tidak menjadi dalam perlawanan akhir hari ini sehingga gagal menguasai gelanggang.

Beliau juga mengakui Chi Wing bijak mengambil kesempatan kerana sudah dapat membaca corak permainannya.

"Saya sudah mencuba sedaya upaya namun hanya setakat ini sahaja kudrat saya. Saya sendiri tidak menjangka memberi laluan mudah kepada Chi Wing," katanya yang terpaksa berpuas hati dengan hadiah RM10,000 sebagai naib juara.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan ia sebagai permulaan baik untuk kembali aktif dalam sukan tersebut setelah dua tahun berehat akibat kecederaan.

Sementara itu, M. Thinaah (BAM) dan pasangan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai (BAM) masing-masing muncul juara perseorangan wanita serta beregu campuran.

Thinaah membuat kejutan apabila mengalahkan pilihan keempat Lim Yin Fun (BAM) 23-21, 21-8 untuk membawa pulang hadiah RM14,000 manakala naib juara mendapat RM7,000.

Pasangan pilihan kedua, Soon Huat-Jemie Lai mengungguli acara beregu campuran apabila mengalahkan Chan Peng Soon-Chow Mei Kuan (BAM) 21-19, 16-21, 21-17 untuk membawa pulang RM20,000 manakala naib juara menerima RM10,000.

Gandingan Ong Yew Sin-Tan Wee Kiong (BAM) pula muncul juara kategori beregu lelaki setelah menumpaskan pasangan Tan Chee Tean Tan Wee Gieen (BAM) 22-20, 21-18 untuk memenangi RM30,000, manakala naib juara mendapat RM15,000.

Kejuaraan beregu wanita menjadi milik Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei yang menumpaskan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean 20-22, 21-11, 21-8, sekali gus membawa pulang hadiah RM20,000 manakala naib juara mendapat RM10,000.

-Bernama

Lihat Komen
ADS