KEMASKINI Jutawan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan menafikan beliau akan menjual beberapa kelab bola sepak dimilikinya, termasuk pasukan yang pernah menyertai Liga Perdana Inggeris, Cardiff City.

"Untuk rekod, saya tiada rancangan untuk menjual mana-mana kelab tapi kalau saya ditawarkan harga yang betul, saya pasti akan pertimbangkan.

"Saya telah dihubungi beberapa kali oleh pihak-pihak yang ingin membeli CCFC tapi harga yang ditawarkan tak kena," kata pengasas Berjaya Group itu dalam satu kenyataan.

Tan berkata, CCFC sebelum ini melalui masa sukar berikutan tindakan pengurusnya yang memaksa kelab itu mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Bagaimanapun, CCFC kini dalam proses pemulihan di bawah pengurus barunya Neil Warnock yang disifatkan Tan sebagai seorang pengurus yang hebat.

Tan juga percaya pasukan itu mempunyai peluang untuk beraksi sekali lagi dalam Liga Perdana pada musim depan.

"Saya tidak tergesa-gesa untuk menjual CCFC tetapi jika saya ditawarkan dengan harga yang tepat oleh individu yang betul yang saya rasa dapat membawa kelab ini ke tahap yang lebih tinggi, saya pasti akan pertimbangkan untuk jualannya.

"Saya katakan sebelum ini bahawa jika saya meninggalkan CCFC, saya mahu meninggalkan ia dengan baik," katanya.

Terdahulu, Bloomberg melaporkan Tan ingin melepaskan sahamnya dalam Cardiff, selain Los Angeles FC serta dua kelab di Bosnia dan Belgium.

Sejak Tan membeli Cardiff City pada tahun 2010, pasukan itu dipromosikan ke Liga Perdana sebelum diturunkan semula ke divisyen dua.

Laporan Bloomberg yang memetik sumber tanpa nama itu mengatakan Tan telah membelanjakan lebih 180 juta pound (AS $ 220 juta) untuk pasukan itu, termasuk harga pembelian.

Kelab itu dilapor rugi 8 juta pound pada tahun 2015 dan dilapor bahawa Tan dikatakan mahu menjualnya dengan harga sekitar 50 juta pound.

Bagaimanapun, Pengerusi Cardiff City, Mehmet Dalman berang terhadap laporan bahawa Vincent Tan mahu menjual Cardiff City.

"Itu adalah benar-benar di luar rancangan pada masa ini dan saya mahu menyebut perkara yang sebenar," kata bos Bluebirds itu seperti dilapor welshonline.com.

Dalman menegaskan Cardiff sedang menuju ke arah yang betul, dan tumpuan kini adalah melihat kelab itu beraksi di Liga Perdana Inggeris.