Situasi cemas dirasai penyokong kelab Atletico Madrid, selepas penyerang mereka Fernando Torres tidak sedarkan diri susulan perlanggaran ketika aksi menentang Deportivo La Coruna, awal pagi tadi.

Torres cedera susulan insiden perebutan udara dengan pemain lawan, Alex Bergantinos menjelang minit ke-83 perlawanan.

Pemain berusia 32 tahun itu jatuh terlentang didahului dengan hentakan di bahagian kepala di atas tanah sebelum didapati koma.

Melalui rakaman video kejadian, insiden menimpa bekas pemain Liverpool itu amat membimbangkan rakan-rakan sepasukan serta pengurusan kelab.

Malah, keadaan cemas dilihat ketika pasukan perubatan memberi rawatan di atas padang sebelum Torres dikejarkan ke hospital sejurus itu.

Namun, dia bernasib baik apabila kecederaan yang dialami dilaporkan tidak parah dan sudah sedar daripada 'koma'.

Kenyataan rasmi Atletico melaporkan keadaan pemain itu kini stabil dan tidak mengalami trauma.

Sementara itu, Torres sempat menjelaskan keadaannya melalui tulisan di Twitter.

"Terima kasih semua yang risaukan saya dan memberi sokongan. Ia hanyalah kerisauan. Saya berharap dapat segera kembali (beraksi)," katanya.

Bergantinos yang sempat melawat rakan senegaranya itu juga mengatakan Torres berada dalam keadaan baik.

"Dia katakan supaya saya tenang dengan hal seperti ini. Dia kata sesuatu seperti ini terjadi bertahun-tahun lalu.

"Dia tenang dan tersenyum. Dia mengingatkan kejadian lain yang dialami, tapi tidak bercakap apa pun mengenai perlanggaran itu," jelasnya.

Pada perlawanan ke-25 La Liga itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri 1-1.