Liga Super 2017 menyaksikan prestasi mendadak pasukan Pahang berbanding musim lalu yang agak suram.

Mendapat sentuhan bekas jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh, skuad Tok Gajah kini gah di puncak liga.

Selepas tujuh perlawanan dengan satu kekalahan, mereka sudah mencatat rekod 20 jaringan dan dibolosi dengan tujuh gol.

Tewas 1-4 kepada Kedah pada aksi keempat dilihat merencatkan sedikit kegairahan mereka, selepas bangkit membaham Pulau Pinang, Melaka dan PKNS FC.

Malam ini, Dollah dan anak-anak buahnya sekali lagi dilihat menghadapi ujian berat. Apakah Tok Gajah akan menjadi mangsa Harimau Selatan di Larkin? Sebaliknya? Atau masing-masing sama hebat?

Prestasi semasa kedua-dua pasukan itu agak seimbang, JDT di bawah kendalian Benjamin Mora semakin mendapat rentak positif dari aspek keserasian dan taktikal permainan mereka.

Dengan tiga kemenangan, dua seri dan satu kekalahan di awal musim ini, juara bertahan itu pastinya mahu menunjukkan taring mereka lebih-lebih lagi beraksi di laman sendiri.

Di posisi serangan, Mora mempunyai Gonzalo Cabrera dan Gabriel Guerra yang mula mempamerkan kelicikan dan ketajaman meledak gawang lawan.

Kelibat kedua-dua import dari Argentina pastinya tidak boleh diambil mudah oleh benteng pertahanan Pahang yang sudah dibolosi dengan tujuh gol pada aksi terdahulu.

Rekod tanpa tewas

Di barisan pertahanan JDT pula, mereka mencatatkan jumlah bolos paling sedikit berbanding pasukan lain dengan empat gol selepas enam perlawanan.

Kekebalan jentera mereka sukar disangkal lebih-lebih lagi ketika menerima tekanan di gelanggang sendiri.

JDT sudah tentu mahu mempertahankan rekod tanpa tewas di Stadium Tan Sri Hassan Yunos selepas tersungkur di Stadium Perak, Ipoh 18 Februari lalu.

Sementara itu di kem Tok Gajah pula, percaturan Dollah musim ini masih belum dapat diramal secara mudah oleh pasukan pesaing.

Namun, taktikal Kedah dengan mempraktikkan penguasaan bola dengan hantaran-hantaran pendek ternyata berjaya melemahkan pertahanan Pahang pada aksi terdahulu.

Kombinasi pemain

Tetapi, Pahang dilihat begitu tajam dengan kombinasi pemain import dan tempatan yang telah membuktikan keserasian mereka memperdayakan rentak pihak lawan. Mungkin tidak ketika berdepan JDT?

Mohamadou Sumareh, Matheus Alves, Joseph Kallang Tie dan Ashari Samsuddin tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan aset dimilik skuad Harimau Selatan.

Skuad Tok Gajah dalam beberapa aksi terdahulu juga mempamerkan betapa mereka boleh beraksi dengan tempo tinggi dengan hantaran pendek dan gerak balas pantas.

Atas kertas peluang seimbang untuk kedua-dua pasukan walaupun sedikit kelebihan kepada JDT yang beraksi di gelanggang sendiri.

Sama ada JDT atau Pahang, masing-masing masih segar bersemangat dengan kemenangan pada aksi 28 Februari lalu.