Man United menanti kemenangan ke-600
Manchester United (Man U) berpeluang untuk mencipta rekod baru ketika turun berdepan Bournemouth dalam saingan EPL, malam ini.
Jika Wayne Rooney dan rakan-rakan berjaya mengutip tiga mata penuh, skuad The Red Devils itu akan muncul sebagai kelab pertama meraih kemenangan ke-600 dalam sejarah Liga Perdana Inggeris itu.
Pengiraan hasil kejayaan Man U itu diambil kira sejak Mac 1995 sehingga kini dengan 599 kemenangan. Dan kemenangan terbesar dalam tempoh itu adalah ketika membelasah Ipswich FC 9-0 di Old Trafford.
Man U juga dilaporkan memenangi perlawanan sebanyak sembilan kali dengan jaringan enam gol atau lebih. Salah satunya ketika menang ke atas Arsenal 8-2 pada 2011.
Arsenal pula adalah kelab kedua yang banyak meraih kemenangan melalui 517 perlawanan, manakala Chelsea mencatat 506 kemenangan dalam tempoh tersebut sekali gus mengatasi Liverpool dengan kelebihan 36 kemenangan.
Peluang untuk Man U meraih kemenangan ke-600 itu dilihat terbuka, lebih-lebih lagi selepas momentum positif anak didik Jose Mourihno akhir-akhir ini.
Mereka berada dalam suasana serba sempurna selepas berjaya meraih kejuaraan Piala Liga Inggeris minggu lalu.
Lebih penting juga, Man U perlu meraih kemenangan pada perlawanan malam ini bagi membolehikan mereka melonjak ke kedudukan keempat liga.
-Dailymail

