Semua persatuan sukan di negeri ini dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Sembilan (MSSNS) diminta supaya menyediakan laporan perancangan sukan masing-masing sepanjang tahun ini bagi memudahkan penyaluran bantuan kewangan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan negeri Datuk Zaifulbahri Idris berkata perancangan sukan itu perlu memberi tumpuan kepada aspek pembangunan sukan, pengelolaan dalam negeri, penyertaan peringkat kebangsaan serta kursus kejurulatihan dan kepengadilan.

Katanya pada Januari lepas, Majlis Sukan Negara (MSN) telah mengadakan perbincangan dengan setiap persatuan sukan yang menghantar perancangan tahunan bagi mendapatkan maklumat keutamaan aktiviti yang perlu diberi bantuan.

"Bagi persatuan sukan yang mempunyai perancangan yang baik dan mempunyai hasilnya, insentif yang lebih harus diberikan berbanding persatuan sukan yang kurang aktif.

"Ini kerana kita hendak pastikan bantuan yang kita berikan benar-benar dimanfaatkan untuk terus melahirkan atlet yang baik. Bantuan yang diberikan adalah berbentuk sumbangan dan bukan membiayai sepenuhnya.

"Sebelum ini kita berikan peruntukan kewangan sama rata kepada semua persatuan sukan," katanya pada majlis penyampaian cek geran peruntukan kepada 28 persatuan sukan di Negeri Sembilan dan MSSNS di Seremban, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Rusni Ab. Jalil dan Pengarah MSN negeri Fouzee Abd. Aziz.

Pada majlis itu, Zaifulbahri menyerahkan cek geran peruntukan RM500,000 untuk diagihkan kepada persatuan sukan di negeri ini dan RM200,000 untuk pembangunan sukan sekolah.

Beliau berkata pada tahun ini, beberapa penambahbaikan dibuat bagi memastikan agenda persatuan sukan dan MSSNS dapat dilaksanakan dengan lebih terancang dan mencapai matlamatnya.

"Semua penerima bantuan (persatuan sukan) juga diminta menghantar laporan prestasi atlet dan cadangan untuk meningkatkan prestasi mereka agar dapat dicapai mengikut sasarannya," katanya.

-Bernama