Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur, (KLFA) Tan Sri Elyas Omar menyarankan agar Malaysia kembali mengadakan
liga bola sepak semi-pro bagi mengembalikan semula standard bola sepak negara.

Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur ini berkata pemain di negara ini masih kekurangan karakter untuk menjadi pemain profesional penuh.

Beliau juga yakin liga semi-pro mampu menaikkan kedudukan Malaysia dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"Pemain kita sekarang mempunyai status profesional, tetapi bermain seperti amatur dan saya berkata ranking kita jatuh kerana kita mengubah daripada semi-pro kepada profesional.

"Para pemain belum bersedia, mereka masih mempunyai karakter semi-pro. Masa dahulu, pemain kita adalah amatur tetapi memiliki karakter pemain profesional...Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Soh Chin Aun dan Datuk Santokh Singh semuanya mempunyai karakter.

"Perkara paling penting ialah mereka akan mempunyai rakan-rakan sepasukan untuk membantu. Para pemain akan berpeluang mendengar dan berbincang dengan majikan, kawan-kawan dan rakan-rakan sepasukan mengenai prestasi mereka untuk
bermain lebih baik," katanya.

Beliau membuat kunjungan ke atas Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Elyas, ahli sukan lelaki atau wanita yang baik perlu mempunyai sikap seperti berdedikasi, minda yang baik, rasa tanggungjawab, cerdik, beremosi dan bekerja keras antara lainnya bagi mencapai kejayaan.

Malaysia mewujudkan liga semi-pro dari 1989 hingga 1993 sebelum memulakan liga profesional pada 1994, yang Elyas sifatkan sebagai titik permulaan kepada kejatuhan bola sepak negara.

Dalam senarai yang dikeluarkan hari ini, Malaysia menduduki ranking ke-161 FIFA.

Untuk mengambil contoh negara lain, Iceland yang mengamalkan liga semi-pro menarik perhatian peminat bola sepak dunia apabila menewaskan England untuk mara ke suku akhir Kejohanan UEFA 2016.

Dengan hanya 332,529 penduduk, Iceland kini beranking ke-23 dunia yang para pemainnya terdiri daripada pelbagai profesion.

Mengenai pemilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Elyas berkata presiden yang bakal dipilih mesti merupakan seseorang yang mampu membangunkan sukan tersebut.

"Presiden mesti mempunyai kuasa dan keupayaan (sumber kewangan) untuk membantu pemain dan menjaga kebajikan mereka. Mesti memilikinya sendiri dan tidak boleh bergantung kepada orang lain," jelasnya.

Semasa menjadi Presiden KLFA dari 1984-1996, Kuala Lumpur menang tiga kali berturut-turut Piala Malaysia dari 1987 hingga 1989. -Bernama