Sepanjang musim ini barisan pengurusan Arsenal dikatakan mendiamkan diri ketika kebanyakan penyokong mereka mula mempersoalkan masa depan Pengurus The Gunners, Arsene Wenger.

Namun, selepas dikalahkan dengan agregat 10-2 berdepan Bayern Munich pada aksi Liga Juara-juara (UCL), Rabu lalu, Pengarah Arsenal, Chips Keswick tampil membuka mulut.

Kenyataan dikeluarkan Keswick mewakili pengurusan kelab itu bagi menjawab keresahan di kalangan penyokong mereka.

"Kami sangat sedar perhatian ketika ini ditumpukan kepada kelab dan memahami perdebatan sekitarnya. Kami menghormati keinginan penyokong dan pendapat individu.

"Tetapi kami mahu memastikan kelab bola sepak ini berjalan dengan kepentingan jangka masa panjang dan terbaik di hati kami," katanya seperti dilaporkan Daily Mail.

"Arsene (Wenger) mempunyai kontrak sehinggan akhir musim. Pelbagai keputusan akan dibuat oleh kedua-dua belah pihak dan akan berbincang pada masa dan dengan cara yang tepat," kata Keswick.

Susulan kenyataan itu, Wenger dilihat tidak lagi mendapat sokongan kuat daripada pengurusan Arsenal dan nasibnya akan ditentukan melalui pencapaian di akhir musim nanti.

Terdahulu, protes penyokong terhadap Wenger dicetuskan selepas perlawanan kedua pusingan berdepan Munich sekali gus menyingkirkan Arsenal daripada saingan UCL.

Ratusan penyokong dilaporkan mengadakan perarakan dari gelanggang lama iaitu Stadium Higburry ke Stadium Emirates sebelum perlawanan tersebut sebagai tanda protes terhadap prestasi semasa Arsenal dan Wenger.

The Gunners tewas 5-1 pada perlawanan pertama pusingan 16 kelompok akhir di tempat lawan dan gagal bangkit di laman sendiri dengan kekalahan 1-5.