Paling Popular
Terkini
story images
story images

Sepulang dari menimba ilmu di London, ketua jurulatih skuad kebangsaan Datuk Ong Kim Swee hadir dengan semangat baru selepas hampir empat bulan tidak bersama anak buahnya.

Jurulatih kelahiran Melaka itu menegaskan, banyak yang dipelajarinya sepanjang berguru dengan kelab Queens Park Rangers (QPR) sejak 7 Februari hingga 8 Mac lalu.

"Ya, banyak yang saya pelajari. Apa yang saya boleh lakukan dengan pasukan kita, dan apa yang tak sesuai untuk kita lakukan.

"Mana yang baik, saya akan gunakan. Apa kaedah sekalipun, yang penting adalah keyakinan dan sikap pemain harus positif," katanya kepada media sebelum sesi latihan skuad Harimau Malaysia di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.

Kim Swee menegaskan, keutamaan bagi skuad kebangsaan ialah kemampuan pemain untuk menerima pembaharuan yang akan diterapkannya.

"Jika mereka boleh terima dan belajar dengan cepat, saya percaya ilmu yang saya timba di sana akan membantu sedikit sebanyak kelebihan kita," jelasnya.

Skuad bola sepak kebangsaan kini dalam persiapan menjelang perlawanan persahabatan menentang Filipina pada 22 Mac ini. Perlawanna itu dijadual berlangsung di Stadium Peringatan Rizal, Manila.

Terdahulu, Malaysia dijadualkan beraksi dalam pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Korea Utara di Pyongyang, namun ditangguhkan ekoran ketegangan diplomatik antara kerajaan Malaysia dan tuan rumah.

Mengulas mengenai perkara itu, Kim Swee berkata, pasukan Malaysia tetap bergantung kepada jaminan kerajaan.

"Apa yang membimbangkan kita adalah keselamatan pegawai dan pemain. Kalau dijamin (selamat) kami akan pergi, kalau kerajaan kata kita tak boleh pergi, maka kita tidak akan pergi," katanya.

Sementara itu, beliau yang baru kehilangan ayah pada 7 Mac lalu menegaskan, apa yang perlu diberi tumpuan kini adalah melaksanakan tugas sebaik mungkin.

"Apabila sesuatu berlaku, tertentu akan memberi kesan, tetapi ini masa untuk kita bekerja dan berusaha kerana perlawanan akan datang cukup penting walaupun bukan kelayakan (Piala Asia 2019).

"Ini satu lagi ujian. Yang penting kita mencapai kemenangan dan (meningkatkan) ranking amat penting.

"Kita lihat walaupun tidak beraksi selama empat bulan, ranking kita masih kekal. Dan jika kita bermain sebelum ini, saya percaya ranking kita akan bertambah baik.

"Jadi kita tak boleh memandang rendah perlawanan persahabatan ini kerana ia akan memberi banyak impak pada ranking," katanya.

Lihat Komen
ADS