Malaysia meraih dua pingat perak dan satu gangsa pada hari pertama Kejohanan Olahraga Para Dunia di Kelab Dubai untuk Orang Kurang Upaya di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, semalam.

Mohd Afiq Mohd Ali Hanafiah menyumbang perak pertama selepas menduduki tempat kedua daripada tujuh peserta dalam acara 200 meter lelaki T-12 (masalah penglihatan) dengan catatan 23.34 saat.

Menurut laman web Kelab Dubai untuk Orang Kurang Upaya www.dcd.org.ae, atlet Great Britain, Zachary Shaw memenangi pingat emas dengan catatan 22.93s manakala Vahid Alinajimi dari Iran mendapat gangsa selepas mencatat 23.61s.

Pingat perak kedua negara diperoleh menerusi Muhd Nurdin Ibrahim dalam acara 800m lelaki T13/20 (masalah pembelajaran) selepas mencatat 2 minit 01.7s.

Atlet Algeria, Fouad Baka menjuarai acara itu dengan catatan 1:59.0s manakala Ramkaran Singh dari India memperoleh gangsa dengan 2:02.6s.

Pemenang pingat emas Sukan Para ASEAN Singapura 2015, Muhamad Ashraf Muhammad Haisham meraih pingat gangsa untuk kontinjen negara dalam acara 800m T44/46 (tubuh atas terjejas dengan kekurangan anggota badan, masalah otot atau pergerakan).

Seramai 386 atlet dari 41 negara mengambil bahagian dalam kejohanan lima hari yang bermula Isnin.

-Bernama