Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan gagal mempertahankan jawatannya sebagai naib presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Kongres ke-53 yang berlangsung, hari ini.

Pada pemilihan yang berlangsung di Petaling Jaya itu, beliau antara salah seorang daripada lapan calon yang mendapat undi paling sedikit dalam pemilihan empat individu bagi jawatan itu.

Anggota Parlimen Kota Bharu itu hanya mendapat tiga daripada 38 undian perwakilan sekali gus tersingkir daripada jawatan itu.

Takiyuddin antara tokoh yang tidak asing di kalangan peminat bola sepak tempatan, malah beliau antara orang lama yang bertapak di FAM.

Selain pernah menjawat jawatan timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, beliau mula mendapat pengaruh di peringkat nasional apabila menjadi exco FAM pada 1997.

Beliau dipilih sebagai naib presiden FAM bagi penggal 2014 hingga 2017 dan penggal sebelumnya difahamkan anak kelahiran Sik, Kedah itu juga menganggotai barisan exco FAM.

Penglibatan aktif Takiyuddin dalam bola sepak menunjukkan keterampilannya agak berbeza berbanding kebanyakan pemimpin PAS yang biasanya lebih memberi tumpuan terhadap karier politik.

Sementara itu, seorang lagi calon mendapat undian terendah ialah Timbalan Presiden Persatuan Bola sepak Kuala Lumpur, Datuk Astaman Abdul Aziz dengan hanya satu undian sahaja.

Turut tersingkir ialah, Pengerusi Liga Bola Sepak Rakyat, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Marzuki Sulong.

Keputusan bagi jawatan nombor tiga FAM itu berpihak kepada Mohd Johaeri Mohd Ayob (34 undi), Datuk Ab Ghani Hassan‎ (29 undi), Datuk S Sivasundaram (28 undi) dan Datuk Rosmadi Ismail (20 undi).‎

Lihat Komen
ADS