Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Malaysia Dragons tewaskan Truth, akhiri musim tanpa play off

LIGA ABL | Berakhirnya musim untuk Westports Malaysia Dragons selepas melengkapkan musim mereka dan mengalahkan Kaohsiung Truth semalam, dua kali berturut-turut dengan enam mata, 114-108.

Dragons juga menewaskan Truth sebelum ini di Cyberjaya dengan 25 mata bersama harapan untuk layak ke perlawanan play off atau separuh akhir Asean Basketball League (ABL).

Kiwi Gardner berjaya mendapat 40 mata, 8 assist, 4 steal dan 3 rebound manakala Joshua Munzon pula menjaringkan 35 mata, 8 rebound, 8 assist dan 6 steal.

"Sudah tentu kemenangan ini ada pengalaman pahit dan manis. Dalam akhir musim ini, perasaan dalam mengecapi kemenangan ini amat berbeza berbanding dulu.

"Namun, saya ingin mencabar mereka yang menganggap musim ini suatu kegagalan untuk Dragons..musim ini jauh dari kegagalan. Kita punyai ramai pemain tempatan yang telah meningkatkan prestasi mereka walaupun menghadapi pelbagai dugaan," kata ketua jurulatih Dragons, Christopher Thomas.

Thomas turut menambah kebanyakan pemain muda tempatan mula mempelajari proses untuk menjadi pemain profesional di arena antarabangsa. Beliau juga tidak menolak realitinya bahawa proses itu akan mengambil masa.

"Saya percaya mereka akan lebih bersedia untuk menghadapi Sukan SEA nanti dan menjadi sebahagian daripada kejayaan pasukan. Saya harap para peminat memberikan sokongan padu pada kemuncak Sukan SEA nanti."

Harapan juara bertahan itu berakhir selepas Singapore Slingers tewas di tangan pasukan Vietnam, Saigon Heat yang juga bertanding untuk tiket terakhir tangga keempat dalam liga.

Slingers menempa tiket ke play off di tangga kedua di belakang Hong Kong Eastern Long Lions dan Alab Pilipinas di tangga ketiga.

Siri perlawanan separuh akhir itu akan bermula minggu depan menyaksikan dua pasukan terbaik bakal merebut piala ABL.

"Akhirnya kita mendapat kemenangan berturut-turut tetapi realitinya musim ini sudah berakhir. Kita sedia maklum, masa kemenangan ini pada masa yang tepat...kita harapkan prestasi seperti ini pada awal musim.

"Beberapa pemain tempatan tidak dapat beraksi akibat kecederaan juga suatu rahmat untuk pemain yang kurang beraksi membina keyakinan dalam perlawanan.

"Walaupun kita kurang berjaya dalam musim ini, saya berharap pasukan Malaysia dapat memberikan yang terbaik dalam Sukan SEA dan musim ABL yang akan datang," kata penolong ketua jurulatih Dragons dan ketua jurulatih kebangsaan Goh Cheng Huat.

 

Lihat Komen
ADS