Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Zainal yakin Harimau Kumbang ke Piala Malaysia
Diterbitkan:  Mar 28, 2017 11:19 AM
Dikemaskini: 4:10 AM

Jurulatih baharu pasukan Pulau Pinang mahu pemainnya melupakan aksi hambar pada awal musim Liga Super ini, sebaliknya fokus dalam mencari kemenangan dalam perlawanan seterusnya.

Zainal Abidin Hassan percaya skuad Harimau Kumbang mempunyai ruang dan harapan untuk memperbaiki prestasi mereka, sekali gus keluar daripada kedudukan tercorot dalam Liga Super ketika ini.

"Yang paling penting ialah pemain melupakan aksi lalu dan menumpukan kepada misi mendatang," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan pertamanya bersama skuad itu.

Zainal Abidin memulakan latihan pertamanya bersama pasukan Harimau Kumbang di Kelab Sukan Pulau Pinang, semalam selepas mengambil alih tugas daripada Ashley Westwood yang ditamatkan kontraknya Ahad lepas.

Bekas penyerang kebangsaan itu berkata pemain pasukan tersebut mempunyai kelebihan masing-masing dan akan menggunakannya untuk memperbaiki kedudukan mereka dalam liga.

"Saya sudah melihat dan mengenali pemain. Melihat kepada kesungguhan dan keyakinan yang ditunjukkan mereka, saya yakin masih ada ruang buat pasukan ini melayakkan diri beraksi dalam saingan Piala Malaysia," katanya.

Zainal Abidin mengakui tiga perlawanan yang akan datang sangat penting untuk memastikan Pulau Pinang kekal dalam buruan tiket Piala Malaysia memandangkan pasukan itu hanya memungut dua mata selepas lapan perlawanan.

Beliau turut meminta penyokong pasukan itu untuk terus memberi sokongan bagi menaikkan semangat pemain.

Pulau Pinang akan menentang Felda United pada 9 April diikuti Kelantan (15 April) dan Johor Darul Takzim (26 April).

-Bernama

Lihat Komen
ADS