Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penyokong bola sepak Kedah menyambut baik sekiranya benar khidmat jurulatih skuad Helang Merah, Tan Cheng Hoe diperlukan bagi membantu pasukan kebangsaan.

Presiden Kelab Penyokong Hijau Kuning, Nor Hasmadi Hamzah berkata, semua pihak perlu bersedia untuk berkorban demi masa depan bola sepak negara.

"Bagi penyokong kita rasa satu perkembangan yang baik demi kemajuan bola sepak Malaysia. Lagi pula Tan Cheng Hoe ada pengalaman bersama skuad negara.

"Apa yang sedang dan akan dilakukan presiden FAM harus dipuji demi mengangkat martabat dan kegemilangan sukan bola sepak tanah air," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, Cheng Hoe dispekulasikan bakal membantu ketua jurulatih skuad Harimau Malaysia, Mario Gomez yang baru diberi tanggungjawab mengemudi pasukan utama Malaysia.

Presiden baru FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini mengambil langkah drastik dengan menggugurkan Datuk Ong Kim Swee daripada posisi itu dan digantikan dengan Gomez.

Bagaimanapun, Kim Swee diberi tugas baru menggantikan Frank Bernhardt untuk membimbing skuad bawah 22 tahun (B-22) negara dengan misi meraih pingat emas pada temasya Sukan SEA 2017, Ogos nanti.

Sementara itu Cheng Hoe dilaporkan menafikan gambaran beliau akan meninggalkan pasukan Kedah dalam masa terdekat.

Malah, bekas pemain Kedah itu tetap memberi fokus bersama anak buahnya untuk persiapan perlawanan suku akhir pertama Piala FA menentang PKNP FC, Sabtu ini.

Nor Asmadi berkata, pasukan Kedah sebagai pasukan yang sedang meningkat naik mungkin akan rugi sekiranya kehilangan Cheng Hoe.

"Tetapi demi kemajuan bola sepak negara, kita perlu berkorban. Mungkin akan ada pengganti Cheng Hoe untuk menggalas tugas di Alor Setar," katanya.

Lihat Komen
ADS