Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengadakan satu menyuarat esok berhubung 'nasib' bekas jurulatih bawah 22 tahun (B-22) negara, Frank Bernhardt.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, perkara itu tidak perlu dipanjangkan dan keputusan segera akan diambil.

"Mengenai isu Frank Bernhardt, kami akan mengadakan satu mesyuarat pada hari esok.

“Isu ini tidak perlu diperpanjangkan, ini adalah antara Frank Bernhardt dan juga persatuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu posisi jurulatih dari Jerman digantikan oleh bekas jurulatih skuad kebangsaan Datuk Ong Kim Swee.

Keputusan itu dibuat secara drastik oleh Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebaik dilantik secara rasmi sebagai bos nombor satu badan induk itu pada Kongres FAM ke-53, Sabtu lalu.

Sementara itu, Bernhardt sebelum ini berkata dia tidak terkejut dengan keputusan Tunku Ismail untuk menamatkan khidmatnya.

Katanya, soal pemecatan jurulatih boleh berlaku apabila seseorang itu dilantik sebagai presiden baharu yang mahu melakukan perubahan.

Walaupun tugasnya belum selesai katanya, sebagai seorang jurulatih yang bertanggungjawab dia akan akur dengan keputusan itu.

"Apabila orang baharu mengambilalih pucuk kepimpinan, mereka mahu melakukan pertukaran atau melakukan perubahan dan ini boleh berlaku," katanya semalam.