Zainal mahu kemenangan pertama lawan Felda United
Ketua jurulatih Pulau Pinang yang baharu, Zainal Abidin Hassan berharap dapat membawa pulang tiga mata penuh pada perlawanan pertama untuknya menentang Felda United, 9 April ini.
Beliau yang percaya pasukannya mampu bangkit dan mempamerkan persembahan terbaik, berkata kesemua pemain Pulau Pinang telah menunjukkan semangat yang tinggi sepanjang latihan dijalankan.
"Saya yakin dengan pemain Harimau Kumbang walaupun terdapat beberapa pemain yang mengalami kecederaan. Saya harap mereka dapat sembuh sebelum bertemu Felda United.
"Penyerang Jafri Chew dan S Kumaahran serta pemain pertahanan Rafiuddin Roddin dan Andy Russell sedang menjalani rawatan pemulihan daripada kecederaan manakala seorang lagi pemain import Nigel Dabingyaba yang baru tiba dari Papua New Guinea akan mula berlatih Isnin ini," katanya kepada pemberita di Batu Feringgi, hari ini.
Beliau ditemui di Lone Pine Hotel, pada majlis perasmian kerjasama antara Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) dan Lone Pine Hotel, yang turut dihadiri Presiden FAP Zairil Khir Johari dan Pengurus Besar Lone Pine Hotel Khoo Boo Lim.
Sementara itu, FAP akan meletakkan jersi di 80 hotel di seluruh Pulau Pinang sebagai langkah mempromosi jersi pasukan Harimau Kumbang dan boleh dibeli oleh peminat serta pelancong dari negara luar.
Zairil berkata langkah untuk meletakkan jersi pasukan Pulau Pinang sekali gus dapat mempromosi pasukan Harimau Kumbang dan dapat menjadikan Pulau Pinang lebih terkenal.
"Biasanya jika kita pergi ke negara lain, jersi bola sepak merupakan benda yang amat menarik untuk dijadikan cenderamata seperti kalau pergi Madrid, mesti kita mahukan jersi Real Madrid untuk dijadikan cenderamata.
"Jadi di Pulau Pinang, kami mahu pelancong dari luar membeli jersi pasukan negeri kita sebagai cenderamata mereka," katanya.
-Bernama

