Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Harimau Malaya kini kembali
Diterbitkan:  Apr 3, 2017 5:37 PM
Dikemaskini: 9:53 AM

Harimau Malaysia hanya dapat 'mengaum' kira-kira setahun apabila kini skuad bola sepak kebangsaan itu kembali kepada gelaran asalnya sejak ditubuhkan - Harimau Malaya.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, penukaran nama gelaran itu atas titah Presidennya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Ia juga selaras dengan permintaan ramai penyokong yang mahukan nama itu digunakan kembali berdasarkan sejarah-sejarah yang pernah dilakar oleh pasukan kebangsaan di zaman kegemilangan bola sepak.

"Laman rasmi Harimau Malaysia akan ditutup berkuatkuasa serta merta dan segala maklumat terkini mengenai bola sepak tanah air hanya akan dikemaskini di laman rasmi FAM," katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Pada 2 Februari tahun lalu, badan induk itu membuat keputusan untuk tidak lagi menggunakan gelaran Harimau Malaya dan digantikan dengan Harimau Malaysia.

Sebab pertukaran itu antaranya FAM berasakan gelaran Harimau Malaya tidak lagi sesuai memandangkan perkataan Malaya itu sendiri tidak lagi diguna pakai secara menyeluruh di negara ini sejak pembentukan Malaysia.

Pertukaran itu juga sekali gus mencetuskan pelbagai polimik di kalangan peminat bola sepak tempatan.

Tambah Hamidin, semoga kebangkitan semula Harimau Malaya akan mampu memberi sinaran baru untuk pembangunan bola sepak tanah air untuk jangka masa panjang.

Lihat Komen
ADS