Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Lima pasukan Liga Malaysia berisiko ditolak mata
Diterbitkan:  Apr 5, 2017 4:15 PM
Dikemaskini: 8:30 AM

Ketika Liga Malaysia musim 2017 sedang rancak berjalan, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) mendedahkan masih ada pasukan yang gagal mematuhi syarat pertandingan yang ditetapkan.

Malah, kata pengelola pertandingan itu pasukan-pasukan tersebut bakal berdepan hukuman pemotongan mata.

Antara syarat berkenaan adalah pasukan wajib mengemaskini dokumen yang menyatakan telah menyelesaikan bayaran dan tunggakan gaji pegawai serta pemain musim 2016 hingga November 2016, termasuk mengemaskini Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso mereka.

"FMLLP mengambil serius perkara ini memandangkan kesemua peraturan dan prosedur liga telah dibentangkan semasa Taklimat Liga Malaysia 2017 yang diadakan pada bulan Disember 2016 di Shah Alam.

"FMLLP akan berhubung terus dengan pasukan yang masih ingkar," kata agensi itu dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, susulan daripada isu pengesahan penyertaan pasukan liga Malaysia 2017 yang diberikan tarikh akhir pada 31 Disember 2016, FMLLP sekali lagi telah mengeluarkan satu surat makluman pada 27 Januari 2017 kepada pasukan yang masih tidak memenuhi syarat tersebut dengan memberikan tempoh untuk menyelesaikannya pada atau sebelum 31 Mac 2017.

"Selepas tarikh tersebut, didapati sebanyak 5 pasukan masih gagal untuk memenuhi syarat yang ditetapkan. Pasukan itu terdiri daripada dua dari Liga Super dan tiga pasukan Liga Premier.

"Di sini, FMLLP boleh mengambil tindakan tegas terhadap pasukan mengikut Perkara 16.3.d, Perkara 37.2 dan Perkara 43 (mukasurat 54) Manual liga Malaysia 2017.

"Kegagalan pematuhan peraturan melalui Perkara 43.2 membolehkan pasukan dikenakan tindakan atau hukuman, tetapi tidak terhad kepada pemotongan mata perlawanan pasukan," tambah kenyataan itu.

Lihat Komen
ADS