Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
10 minit bolos 3 gol, JDT sukar bangkit
Diterbitkan:  Apr 5, 2017 9:23 PM
Dikemaskini: 2:28 PM

Jika pada pertemuan pertama di Larkin menyaksikan JDT membelasah Global FC 4-0, kali ini situasi sebaliknya berlaku.

Selepas tewas 1-3 di Kuantan Sabtu lalu dalam aksi suku akhir pertama Piala FA, kunjungan JDT ke Manila pula membawa padah.

Skuad Harimau Selatan tumpas dengan jaringan 2-3 pada aksi keempat kumpulan F Piala AFC sekali gus menyaksikan pasukan tuan rumah 'membalas dendam' kekalahan di Larkin, 14 Mac lalu.

Pertembungan di Stadium Peringatan Rizal sebentar tadi, pada awalnya menyaksikan pasukan pelawat tampil menguasai permainan.

Anak buah Benjamin Mora turun tanpa kelibat kapten mereka Safiq Rahim untuk 45 minit pertama dan menjadi tugas Nazmi Faiz, Gonzalo Cabrera dibantu Amirulhadi Zainal mengemudi jentera tengah.

Gabriel Guerra, Hazwan Bakri dan Azammuddin Akil di barisan serangan berdepan tugas sukar menggempur pertahanan lawan.

JDT dilihat banyak menghantar gerakan melalui umpanan-umpanan ke posisi sayap kiri dan kanan.

Ada beberapa percubaan, namun separuh masa pertama ternyata nasib baik berpihak kepada pasukan tuan rumah.

Kesilapan jentera pertahanan membolehkan Global FC menewaskan Izham Tarmizi dengan tiga gol dalam tempoh kira-kira 10 minit.

Minit ke-26, jaringan Dennis Villanueva menjadi pemisah awal sebelum rakannya, Shu Sasaki merekod gol kedua tujuh minit berselang.

Kedudukan 2-0 itu bagaimanapun belum sempat untuk JDT memperkemas benteng pertahanan sekali gus gol ketiga lawan menyusul dua minit berselang.

Jaringan Amani Aguinaldo itu meletakkan Global FC di depan dengan skor 3-0 di separuh masa pertama.

JDT bangkit

Kembali dari bilik rehat untuk 45 kedua, JDT cuba menyusun semula momentum mereka.

Malah sentuhan Guerra berjaya mencipta jaringan pertama JDT seawal minit ke-47.

Kelab wakil Filipina pula dilihat selesa dengan dan memilih untuk lebih bertahan ketika perlawanan ke fasa akhir.

Dan keselesaan mereka itu nampaknya diambil sebagai kelebihan pada skuad pelawat khususnya dengan kemasukan Safiq untuk lakukan kebangkitan.

Guerra sekali lagi menjadi membuktikan ketajamannya untuk merapatkan jurang kedudukan.

Penyerang import dari Argentina itu bijak menyudahkan umpanan rakan sepasukan pada minit ke-82 di kawasan kotak penalti walaupun cuba dihimpit rapat pertahanan lawan.

Kedudukan 2-3 itu memberi harapan dan kemungkinan betapa wakil negara itu sekurang-kurang bangkit untuk keputusan seri.

Namun, ternyata tidak mudah untuk bangkit di saat-saat akhir sekali gus terpaksa akur dengan kekalahan pertama mereka di pentas Piala AFC musim ini.

Keputusan itu menyaksikan juara 2015 itu turun ke tangga kedua kumpulan dengan pengutip tujuh mata berbanding Global FC dengan lebihan dua mata sebagai pendahulu.

Aksi seterusnya, Safiq dan rakan-rakan bakal berdepan wakil Kemboja, Boeung Ket Angkor pada perlawanan kelima 19 April nanti.
 

Lihat Komen
ADS