Gomez nafi Cheng Hoe pilihannya
Jika semalam bekas jurulatih JDT menafikan dia menuntut gaji yang tinggi untuk mengendali skuad kebangsaan, Mario Gomez hari ini mendedahkan satu lagi 'rahsia' FAM.
Jurulatih dari Argentina itu mengakui dia tidak pernah menentukan siapa calon untuk membantunya mengendali Harimau Malaya.
"Saya tidak pernah memilih Tan Cheng Hoe. Saya juga tidak tahu dari mana cerita seperti ini timbul.
"Saya menghormati Cheng Hoe dan tidak berniat untuk mengganggu tugasnya sebagai pengendali pasukan Kedah yang kini sedang berada di puncak prestasi dalam saingan Liga Super," katanya seperti dilaporkan media hari ini.
Sebelum ini Gomez dikatakan memilih Cheng Hoe yang juga jurulatih Kedah untuk posisi penolong jurulatih Harimau Malaya.
"Kalau saya diberi pilihan, sudah tentu saya memilih pembantu jurulatih daripada pasukan Harimau Selatan, Raul Longhi.
"Begitupun, saya tidak kisah jika digandingkan dengan Cheng Hoe kerana beliau antara jurulatih tempatan terbaik di negara ini," katanya dipetik sebagai berkata.
Terdahulu, Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilaporkan memberi tawaran kepada Cheng Hoe untuk bergandingan dengan Gomez.
Menurut Gomez, Tunku Mahkota Johor itu mahukan Cheng Hoe menjadi pembantunya mengendalikan pasukan kebangsaan.
"Saya boleh berganding dengan sesiapa sahaja dan saya bersedia menerima mana-mana calon yang difikirkan sesuai," jelasnya.
Kini nasib Cheng Hoe tidak jelas, lebih-lebih lagi selepas jurulatih Helang Merah itu sudah memberi notis peletakan jawatan kepada Persatuan Bola Sepak Kedah minggu lalu.
Malah, Cheng Hoe juga mengakui secara terbuka bahawa beliau bersedia untuk bekerjasama dengan Tunku Ismail dan Gomez bagi mengendalikan skuad bola sepak negara.

