Selepas perlawanan yang sukar semalam bertemu Susanto Yulia Yosephin (Indonesia), satu-satunya wakil beregu perseorangan wanita Malaysia Goh Jin Wei kalah 21-14, 21-12 kepada Chen Yufei (China).

Pusingan kedua dalam siri Celcom Axiata Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia yang diadakan di Kuching semakin 'hilang seri' untuk skuad negara selepas satu per satu pemain Malaysia ditunjukkan jalan keluar di awal saingan.

Jin Wei yang juga merupakan juara kejohanan dunia pada tahun 2015 tumpas dalam tangan lawannya itu dalam pertemuan keempat mereka sejak kejohanan di Macau tahun lalu.

Kekalahan Jin Wei kali ini menjadikan rekod satu kemenangan dan tiga kekalahan.

Dalam perlawanan yang berlangsung selama 37 minit itu, Jin Wei yang masih dibelenggu kecederaan kakinya dilihat mencuba sedaya upaya untuk memberi saingan sengit wakil dari China itu.

Nasib tidak menyebelahi Jin Wei, satu-satunya wakil perseorangan wanita kebangsaan tidak dapat melepasi pusingan seterusnya.

Terdahulu, pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei tidak bermasalah untuk mara ke peringkat suku akhir apabila menang mudah ke atas wakil dari Hong Kong, Hu Yun dengan keputusan 21-8, 21-6 dalam tempoh masa 27 minit.

Pada aksi suku akhir esok, pemenang pingat perak Olimpik 2016 itu juga akan berdepan pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok-Jin.

Semalam, nasib malang menimpa beregu berpasangan kebangsaan Goh V Shem/Tan Wei Kiong dan Goh Liu Ying/Chan Peng Soon tumpas dalam pusingan pertama.

Goh-Tan merupakan pilihan pertama dalam Terbuka Malaysia bertembung Or Chin Chung dan Tang Chun Man dari Hong Kong dalam dua set, 17-21, 21-23.

Liu Ying dan Peng Soon pula menjadi mangsa skuad garuda diwakili Edi Subaktiar dan Gloria Emanuelle Widjaja dari Indonesia, 21-18, 19-21, 17-21.