Wenger bingung kekalahan Arsenal
Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mengaku kecewa dengan kekalahan 0-3 berdepan Crystal Palace dalam Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.
"Kami terlalu banyak alami kekalahan dan perlu membayar kegagalan tersebut.
"Tidak ada alasan jelas mengapa ini terjadi. Kami sebetulnya sudah bersedia dan semua pemain pun bersedia untuk menghadapi perlawanan ini," katanya selepas perlawanan yang berlangsung di Selhurst Park, London itu.
Tiga gol tuan rumah dihasilkan melalui Andros Townsend (17'), Yohan Cabaye (63') dan gol penalti Luka Milivojevic pada minit ke-68.
Ia menjadi kekalahan kelapan skuad The Gunners di pentas EPL musim ini sekali gus kekal di tangga keenam dengan mengumpul 54 mata selepas 30 perlawanan.
"Saya faham penyokong sangat kecewa dan kami semua sedia malam ini. Cara kami tewas seperti ini amat membimbangkan dan mengecewakan.
"Palace sangat tajam dan mereka juga mengalahkan Chelsea pada perlawanan sebelum ini. Ini menunjukkan kualiti mereka," kata jurulatih kelahiran Perancis itu.
Kekalahan itu juga meletakkan Arsenal terkeluar daripada landasan untuk merebut gelaran juara musim ini, manakala Palace berada di kedudukan ke-16 dengan kutipan 34 mata.
Kini, posisi Wenger semakin terancam dan desakan untuk 'menendangnya' keluar semakin lantang dilaungkan penyokong.
"Saya menghadapi soalan itu (soal masa depan) setiap kali bertemu media tetapi malam ini saya tiada selera untuk bercakap mengenainya.
"Saya lebih peduli mengenai fakta bahawa kami beroleh hasil yang buruk," katanya.

