Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Jangan leka lawan JDT
Diterbitkan:  Apr 11, 2017 5:52 PM
Dikemaskini: 10:05 AM

Ketua Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail mengingatkan pemainnya supaya tidak mengambil mudah perlawanan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam esok.

Zahasmi berkata anak buahnya tidak boleh leka dengan melakukan kesilapan sama seperti ketika menentang Pahang pada Sabtu lepas, mengakibatkan Kelantan tewas 1-2 di halaman sendiri.

"Johor pasukan yang bagus, jika kami leka, tidak memberi tumpuan dan melakukan banyak kesilapan, mereka (JDT) boleh menewaskan kami dengan jaringan besar seperti ketika mereka menewaskan Melaka United 7-0 Ahad lepas," katanya di Kota Bharu, hari ini.

Justeru, Zahasmi mahu pemainnya beraksi seperti perlawanan akhir dan memanfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri bagi mencipta kejutan ke atas pasukan dari selatan tanah air itu.

Beliau berkata semua tonggak utama pasukannya akan diturunkan pada perlawanan tersebut.

"Saya berharap penyerang import dari Brazil, Alessandro Celin dapat diturunkan selepas beliau sudah pulih daripada kecederaan. Pemain tengah dari Perancis, Mario Gomez juga akan kembali beraksi selepas digantung satu perlawanan kerana menerima dua kad kuning," katanya.

Sementara itu, ketua pasukan Kelantan Mohd Badhri Mohd Radzi berkata rakan sepasukannya perlu melakukan sesuatu untuk menghalang Johor membawa pulang mata.

"Kami perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan malam esok dan saya percaya dengan kelebihan yang dimiliki oleh rakan rakan sepasukan saya.

"Kemenangan adalah penting bagi memberi semangat kepada banyak pihak, baik penyokong mahupun pengurusan pasukan Kelantan," katanya.

Kelantan kini berada pada kedudukan keenam liga dengan 12 mata selepas lapan perlawanan, hasil empat kemenangan dan empat kalah.

-Bernama
 

Lihat Komen
ADS