Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menguji penggunaan teknologi video bantuan pengadil (VAR) pada aksi separuh akhir dan final Piala Malaysia tahun ini.
Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amim berkata langkah itu adalah bagi menentukan keberkesanan teknologi berkenaan, sebelum ia diguna pakai sepenuhnya dalam saingan Liga Super musim depan.
"Saya sudah bincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Pengadilan FAM, Subkhiddin Mohd Salleh, dan kemungkinan kita akan segera laksanakan projek perintisnya pada aksi Piala Malaysia.
"Pelaksanaan sepenuhnya pula pada musim depan, dengan kos teknologi ini dianggarkan di bawah RM10 juta," katanya kepada pemberita selepas taklimat penggunaan VAR dan pengadilan di Johor Bharu, semalam.
Sementara itu, Subkhiddin berkata VAR diperlukan bagi meningkatkan mutu pengadilan, selain untuk mengurangkan kontroversi berhubung keputusan sesuatu perlawanan.
"Saya tidak kata pengadil kita tidak bagus, cuma perlu ada sistem yang dapat memperkemaskan keputusan, sekaligus meningkatkan keyakinan pemain serta penyokong," katanya.
Beliau berkata teknologi berkenaan dibangunkan oleh syarikat Hawk-Eye yang berpangkalan di London.
Sehingga kini, terdapat beberapa negara sudah mengadaptasikan teknologi berkenaan termasuk Belanda, Jerman, Perancis, Australia dan Qatar, manakala Malaysia pula negara pertama di Asia Tenggara bakal menggunakannya.
"VAR menumpukan empat perkara iaitu mengesahkan jaringan, menentukan layangan kad merah dan kuning kepada pemain, menentukan pemberian sepakan penalti serta mengelak kesilapan identiti pemain.
"Setiap keputusan mengambil masa antara 14 hingga 15 saat untuk dikeluarkan dan mana-mana pasukan dan pengadil perlawanan tidak berhak membantah keputusan," kata Subkhiddin.
Dalam perkembangan lain, Hamidin berkata FAM sudah mengenal pasti antara 14 dan 20 pengadil yang akan dinaik taraf sebagai pengadil profesional pada saingan Liga Malaysia musim depan.
Beliau berkata kesemuanya yang berusia 23 hingga 35 tahun, dijangka menjalani kursus di Wisma FAM di Kelana Jaya, dalam tempoh terdekat.
"Ini adalah inisiatif Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu pengadil di negara ini mempunyai taraf tinggi.
"Bagaimanapun, kita bermula dengan jumlah kecil dahulu dan jika kita memiliki kewangan kukuh, kita akan tambah lagi," katanya sambil menambah setakat ini, skala gaji dan elaun untuk pengadil terbabit belum dimuktamadkan.
-Bernama